Malaysia Oversight

Rakyat Gaza hidup di tengah dua juta tan sampah

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
Rakyat Gaza hidup di tengah dua juta tan sampah


GAZA: Bau busuk dan pencemaran semakin buruk di Gaza apabila timbunan sampah yang tidak dikutip, kolam kumbahan, sisa berbahaya dari kawasan pengeboman dan asap beracun daripada pembakaran  plastik menyelubungi udara wilayah perang itu.

Ketua Pejabat Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Gaza, Alessandro Mrakic berkata, masalah pengurusan sisa di wilayah itu kini berada pada tahap kritikal.

“Skala masalah sisa di Gaza sangat besar,” katanya.

Beliau berkata, tapak pelupusan sampah di wilayah itu sudah penuh sebelum perang bermula, sementara tiga tapak utama yang terletak berhampiran sempadan Israel kini tidak lagi boleh diakses oleh penduduk Palestin.

“Kita bercakap tentang dua juta tan sisa yang tidak diselenggara, bertaburan di seluruh Gaza,” katanya sambil mendedahkan risiko terhadap alam sekitar, takungan air bawah tanah yang menjadi sumber utama penduduk dan aspek kesihatan.

Ramai penduduk Gaza mengadu menghidap penyakit gastrousus dan masalah kulit seperti cirit-birit, ruam, luka dan kudis buta, dengan doktor di wilayah itu menyalahkan pencemaran sebagai punca utama.

“Penyakit kulit semakin berleluasa akibat kepadatan penduduk di khemah perlindungan dan terletak berhampiran longgokan sampah,” kata pakar dermatologi di hospital medan Kuwait di Khan Younis, Dr Sami Abu Taha.

Perkhidmatan awam seperti kutipan sampah terhenti sebaik sahaja perang bermula pada Oktober 2023.

Walaupun sebahagiannya disambung kembali sejak gencatan senjata pada Oktober, tahap kemusnahan yang besar menjadikan usaha pembersihan menyeluruh masih jauh untuk dilaksanakan.

Seorang penduduk di Khan Younis, Mahmoud Abu Reida berkata, anaknya sering dibawa ke hospital selepas disahkan menghidap jangkitan bakteria yang dipercayai berpunca daripada longgokan sampah berhampiran khemah mereka.

“Saya tidak dapat menghidu udara segar. Bau busuk menyelubungi khemah kami, anak-anak juga terjaga setiap pagi sambil batuk,” katanya.- AGENSI

 

 





Source link