KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru untuk menyumbang bahan berkaitan ASEAN atau sejarah negara kepada Arkib Negara bagi memperkayakan sumber sejarah tanah air.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menekankan kepentingan sejarah sebagai rujukan akademik dan sumber ilmu untuk memahami kerjasama serantau ASEAN selama lebih lima dekad.
Beliau menyatakan usaha ini mampu menjadi panduan kepada generasi akan datang dalam menghadapi cabaran geopolitik, ekonomi dan sosial yang semakin kompleks.
Aaron berkata demikian ketika merasmikan Bicara Sejarah ASEAN bertajuk “Keterangkuman dan Kemampanan” anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia.
Beliau menegaskan naratif sejarah ASEAN yang dipelihara menunjukkan nilai perpaduan, kerjasama dan saling menghormati sebagai teras hubungan antara negara di rantau ini.
Aaron menambah penghayatan sejarah bukan sahaja memperkukuh jati diri kebangsaan malah memperteguh perasaan kebersamaan serantau untuk masa depan lebih stabil dan harmoni.
“Sejarah ASEAN adalah sejarah kita bersama dan ia merupakan warisan untuk seluruh rakyat Asia Tenggara,“ katanya.
Bicara Sejarah ASEAN berfungsi sebagai wadah ilmiah untuk membincangkan sejarah dan warisan kolektif negara anggota ASEAN termasuk Malaysia.
Sesi tersebut turut menyumbang kepada usaha memperkukuh semangat cintakan sejarah, budaya dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Inisiatif ini juga menyemai rasa kebersamaan, keprihatinan serantau serta tanggungjawab kolektif sebagai sebahagian komuniti ASEAN. – Bernama