Malaysia Oversight

Rakphol tidak gentar diundi dalam ‘kumpulan maut’

By Utusan in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Rakphol tidak gentar diundi dalam ‘kumpulan maut’


PETALING JAYA: Skuad futsal kebangsaan berdepan ujian getir dalam saingan Piala Futsal 2026 apabila diundi dalam kumpulan bersama gergasi, Iran, serta Arab Saudi dan Afghanistan.

Ketua jurulatih skuad futsal negara, Rakphol Sainetngam menyifatkan keputusan undian itu sebagai satu peluang besar untuk pasukan negara menimba pengalaman berharga menentang gergasi Asia.

Tambahnya, undian ini membuka ruang untuk Malaysia menguji kemampuan sebenar menentang pasukan elit, sekali gus memperkukuh asas pembangunan futsal negara ke tahap lebih tinggi.

“Bagi saya, ini situasi yang positif kerana ia membolehkan Malaysia bersaing dan belajar secara langsung daripada pasukan terbaik di Asia. Ia adalah peluang penting untuk pembangunan kita,” ujar jurulatih kelahiran Thailand itu.

Rakphol yang membawa Malaysia mara ke Piala Asia 2026 di Jakarta, Indonesia pada Januari tahun depan turut berharap skuad kali ini mampu mencipta kejutan baharu di pentas Asia.

“Kali ini, kami juga mahu mencapai keputusan yang baik. Secara peribadi, saya berharap kami dapat mencipta kejutan dalam pusingan ini, sama seperti ketika kelayakan tempoh hari apabila tiada siapa menjangka kami akan ke peringkat akhir,” ujarnya.

Bagaimanapun, Rakphol sedar laluan Malaysia jauh lebih sukar berbanding lawan yang lain.

“Saya sangat memahami betapa sukarnya cabaran ini, tetapi sepanjang kerjaya kejurulatihan saya, saya sentiasa berjaya mencipta detik-detik yang tidak dijangka. Kami akan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Kejohanan Piala Asia Futsal 2026 akan menampilkan 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan, dengan lapan pasukan terbaik bakal mara ke pusingan kalah mati.

Malaysia kini bersedia menempuh cabaran getir di Jakarta, Indonesia dengan semangat baharu untuk mengharumkan nama negara di pentas Asia.-UTUSAN





Source link