Portal berita MalaysiaNow menerbitkan rakaman audio yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa lesen penerokaan perlombongan arang batu diluluskan kepada syarikat berkaitan bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador.
Menurut laporan tersebut, rakaman itu dikatakan berasal daripada mesyuarat pada Mei 2024 yang melibatkan lembaga Sabah Mineral Management (SMM), yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, dan Pejabat Ketua Menteri untuk mendapatkan ulasan.
MalaysiaNow mendakwa rakaman itu membuktikan Hajiji menyokong syarikat Bumi Suria Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Farhash, tetapi terdapat bantahan yang diluahkan oleh setiausaha kerajaan negeri, Safar Untong.

“Tapi kawasan itu terlampau luaslah Datuk Seri, 70,000 hektar,” kedengaran suara yang menurut MalaysiaNow dilontarkan oleh Safar.
Namun, suara lain—yang didakwa sebagai Hajiji—membalas: “Ya, itu kita atur nanti. Yang penting, kita luluskan dia punya permohonan”.
Sebelum ini, Sim menafikan SMM memberikan lesen penerokaan kepada syarikat milik atau berkaitan Farhash, termasuk Bumi Suria Sdn Bhd dan Borneo Bumi Sdn Bhd.
“Tiada,” katanya kepada Malaysiakini, sambil menegaskan bahawa SMM tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen.

Selepas itu, MalaysiaNow menerbitkan dokumen yang didakwa membuktikan Farhash menerima kebenaran untuk menjalankan penerokaan mineral di kawasan rizab hutan yang luas di Sabah.
Portal berita itu mendakwa bukti tersebut—termasuk surat-menyurat, fail syarikat, minit mesyuarat lembaga, dan rakaman audio—diberikan oleh sumber dalaman SMM.
Bagaimanapun, MalaysiaNow memilih untuk tidak menyiarkan rakaman audio penuh. Butiran dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diterbitkan juga ditapis, dan hanya petikan daripada minit mesyuarat didedahkan.
Farhash menolak laporan tersebut sebagai palsu serta menghantar notis undang-undang kepada MalaysiaNow,serta membuat laporan polis.