Malaysia Oversight

Raja Salman taja 1,000 jemaah haji Palestin

By MkiniBM in May 20, 2025 – Reading time 1 minute
Raja Salman taja 1,000 jemaah haji Palestin


GLOBAL l Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menitahkan penajaan 1,000 jemaah haji dari kalangan keluarga syahid, tahanan dan mereka yang tercedera dalam kalangan rakyat Palestin untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Penajaan itu merupakan inisiatif perbelanjaan peribadi baginda di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci bagi Haji, Umrah dan Ziarah yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal , Dakwah dan Bimbingan.

Menteri Hal Ehwal , Dakwah dan Bimbingan merangkap Penyelia Umum program, Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, atas keprihatinan dan kemurahan hati kepimpinan tertinggi negara itu.

Beliau menyifatkan titah itu sebagai lambang komitmen berterusan Arab Saudi dalam menyantuni rakyat Palestin serta memperkukuh semangat persaudaraan dalam kalangan umat .

“Program ini adalah kesinambungan kepada usaha gigih kepimpinan Saudi untuk memudahkan umat Islam Palestin menunaikan rukun Islam kelima dalam suasana yang selesa dan terjamin,” katanya.

Al Alsheikh turut memaklumkan bahawa kementerian telah mula melaksanakan pelan menyeluruh bagi memastikan jemaah Palestin mendapat segala kemudahan dan perkhidmatan terbaik sepanjang perjalanan mereka — bermula dari tanah air, sewaktu berada di Mekah dan Madinah, hingga mereka kembali semula ke Palestin.

Sejak mula diperkenalkan pada 1417 Hijrah, program ini telah menaja lebih 64,000 jemaah dari pelbagai negara, sekali gus mencerminkan kedudukan Arab Saudi sebagai tumpuan umat Islam sejagat.

– Bernama-SPA



Source link