Ketika kaum India diserang pihak tertentu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkongsi semula kenyataan yang dibuatnya pada 2018, yang menyentuh hubungan rapat keluarganya dengan masyarakat India.
Sebelum itu, Seri Paduka Baginda bertitah kepada orang ramai bahawa Malaysia bertuah, tidak seperti negara lain yang dilanda konflik bersenjata dan peperangan.
“Kita seharusnya bersyukur atas nikmat ini. Mungkin kerana kita tidak bertarung nyawa mengelakkan diri dari bom, ada dalam kalangan kita yang sengaja mengapi-apikan isu sehingga menegangkan perhubungan etnik berbeza di negara kita.
“Semoga Allah SWT terus melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta perasaan kasih sayang di antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia,” tambahnya.
Kenyataan lama Raja Zarith merakamkan penghargaan kepada empat individu India yang telah menjaga keluarganya selama bertahun-tahun.
Dua daripada mereka adalah doktor, bernama Subramanyam Balan dan Singaraveloo.
“Selama bertahun-tahun, apabila suami atau anak-anak saya sakit pada pertengahan malam, salah seorang daripada dua doktor inilah yang akan tergesa-gesa datang untuk merawat kami.
“Mereka tidak mengira kekerapan atau waktu – sama ada sebelum tengah malam atau 3 pagi, mereka tetap mengunjungi kami,” titah Raja Permaisuri.
Apabila salah seorang putera baginda, Allahyarham Tunku Abdul Jalil, disahkan menghidap kanser hati, baginda bertitah sekeluarga selesa dengan rawatan yang diberikan oleh Subramanyam dan Singaraveloo.
“Kerana menjadi kelaziman mereka sering merawat kami semasa Jalil masih kecil, wajah mereka merupakan wajah mesra yang dipercayai oleh kami dan Jalil untuk menjaganya ketika sakit.
“Apabila Jalil menarik nafas terakhirnya, Dato’ Balan yang melihat waktu dan mengesahkan masa kemangkatannya,” tambah Baginda.
Bagi dua lagi orang India yang memberi kesan kepada kehidupan mereka, Raja Zarith menyebut seorang lelaki bernama Mohan, yang telah menjaga Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Ibrahim ketika baru berusia setahun.
“Apabila anak sulung kami, Tunku Mahkota Johor, hanya berumur satu tahun, Mohan yang menjaganya ketika suami saya bersukan luncur air di Stulang Laut.
“Malah, Mohan mengajar semua anak saya berenang. Dan setiap kali mereka mahu berenang, Mohan akan menjaga mereka dan berada di dalam air dengan mereka selama berjam-jam.
“Mohan menjadi jurulatih berenang, teman bermain mereka dan ‘pengasuh’ mereka,” titah Raja Permaisuri.
Baginda bertitah bahawa apabila suaminya bekerja di luar stesen, baginda akan meminta agar Mohan tinggal di kediaman mereka atas sebab keselamatan.
“Mohan tidak akan tidur sehingga kakitangan lain datang untuk bekerja pada waktu pagi. Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Mohan untuk menjaga kami anak-beranak dengan baik,” tambahnya.
Baginda turut memuji individu bernama Sugumaran, yang berkhidmat sebagai aide-de-camp suaminya.
Raja Zarith menyebut bahawa Sugumaran telah melayani suaminya dengan penuh kesetiaan dan kasih sayang walaupun pernah dimarahi oleh Sultan Ibrahim.
“Apabila saya bercuti di England pada tahun 2009, Sugumaran yang menjadi sahabat anak bongsu saya – membantu dia memilih epal dari pokok dan memberi makan itik di taman.
“Kami suami isteri mempunyai ramai sahabat-sahabat dari pelbagai bangsa. Tetapi, buat masa ini, kerana berlakunya ketegangan melibatkan kaum India di Malaysia, saya mencoret naskah pendek ini untuk menunjukkan bagaimana kami sekeluarga menghargai perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan keempat-empat orang ini,” titah bagindapada kenyataan 2018 itu.
Kenyataan itu dibuat pada kemuncak rusuhan Kuil Seafield, yang menyaksikan anggota bomba Mohd Adib Mohd Kassim kehilangan nyawanya.