Malaysia Oversight

Raja Perlis ingatkan ADUN jangan penting diri, beri keutamaan pada rakyat berbanding parti

By Utusan in January 8, 2026 – Reading time 2 minute
Raja Perlis ingatkan ADUN jangan penting diri, beri keutamaan pada rakyat berbanding parti


ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan setiap wakil rakyat agar dapat memberi keutamaan kepada rakyat berbanding kepentingan diri sendiri.

Titah baginda, setiap wakil rakyat perlu adil dan seharusnya tidak mengambil kira parti yang diwakili dalam menjaga kebajikan masyarakat.

“Kepada Yang Berhormat (YB) semua, ingatlah anda memegang jawatan atau dipilih menjadi wakil rakyat adalah untuk mewakili rakyat, bukan diri sendiri, maka utamakan rakyat.

“Semasa menjadi wakil rakyat, lupakan parti mana anda wakili, kerana anda adalah wakil rakyat untuk menjaga rakyat. Utamakan rakyat dan jadilah adil kepada rakyat,” titah baginda pada majlis pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) di Istana Arau di sini semalam.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kemelut pertukaran Menteri Besar yang berlaku sebelum ini sememangnya amat mendukacitakan baginda namun perkara itu tidak dapat diubah dan semua pihak perlu menerima ketentuan tersebut.

“Saya nak kembali semula kepada sejarah Exco di mana sebelum merdeka, Exco dipengerusi oleh Raja sendiri manakala ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil kaum. Dan selepas merdeka, barulah berubah di mana wakil rakyat dipilih rakyat sendiri untuk menganggotai Exco.

“Dengan demikian, barulah Raja undur diri dari menjadi pengerusi namun sehingga hari ini, istilah Raja dalam mesyuarat masih dipakai.

“Makanya, wakil rakyat dan Menteri Besar adalah menjadi wakil kepada Raja, ramai orang tak faham kerana sejak kita capai kemerdekaan dan gunakan istilah Raja Berperlembagaan, jadi perkara-perkara itu pun berubah. Banyak tugas-tugas Raja diserah kepada salah seorang pemimpin atau wakil rakyat,” titah baginda.

Titah baginda, seluruh barisan Exco negeri yang baharu dilantik diseru agar dapat menjalinkan hubungan baik dengan Persekutuan.

“Beta harap sebelum pilihan raya akan datang, semua Exco dan wakil rakyat dapat jalankan tugas masing-masing dengan sebaiknya bagi menjaga kebajikan rakyat,” titah baginda.-UTUSAN





Source link