Malaysia Oversight

Rahmatan lil alamin pelengkap masyarakat Madani

By MkiniBM in May 27, 2025 – Reading time 4 minute
Rahmatan lil alamin pelengkap masyarakat Madani


Seperti mana yang kita semua sedia maklum, setahun selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU ke-14 pada Mei 2018, gagasan baharu yang dikenali sebagai Rahmatan lil Alamin diangkat menjadi teras dan dasar melalui kelulusan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Malaysia (MKI) pada 14 Mac 2019 yang dipengerusikan perdana menteri waktu itu Dr Mahathir Mohamad. 

Gagasan yang dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa ini akhirnya diterima dan dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada 25 April 2019. 

Termeterainya tarikh bersejarah itu, konsep Rahmatan lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang diperjuangkan oleh parti Amanah selama ini diserap sebagai teras pembentukan masyarakat Malaysia Baharu selepas. negara ini bergolak dengan pelbagai skandal dan krisis yang mengakibatkan kejatuhan

Sejak itu, sudah kedengaran bertapa perlunya masyarakat Malaysia disusun semula melalui pendekatan politik yang lebih matang, adil dan penuh keharmonian. Bahkan, menjadi keperluan mendesak supaya wawasan dan idealisme politik baharu segera dicorak bagi mengurus cabaran politik dalaman negara yang tidak menentu, di samping geopolitik dunia yang semakin kompleks.

Akhirnya, gagasan Rahmatan lil Alamin adalah satu-satunya pendekatan yang diyakini mampu menghadapi pelbagai cabaran semasa baik dari segi politik mahupun dalam aspek pentadbiran negara, kerana sumber gagasan ini adalah daripada al-Quran dan as-Sunnah. 

Setelah hampir satu dekad gagasan ini diperkenal, kita dapat melihat bahawa rakyat secara umumnya menyambut baik melalui perbincangan dan perdebatan yang dilakukan secara terbuka dan penuh rasional. Inilah yang kita harapkan selama ini. 

Namun demikian, tanpa kita sedari, sejak belakangan ini, gagasan Rahmatan lil Alamin kelihatan kurang dipromosikan secara menyeluruh seperti mana ketika mula-mula ia diperkenalkan dahulu. 

Perlunya usaha dan program yang konsisten untuk menyegarkan kembali gagasan ini, seiring dengan gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Ibrahim dua tahun lalu. Malaysia Madani memperkenalkan enam rukun penting iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. 

Hakikatnya komponen ihsan yang terkandung dalam Madani secara langsung sebenarnya membentuk gagasan Rahmatan lil Alamin yang kemudiannya diterjemahkan melalui pendekatan Ekonomi Madani sekali gus melahirkan inisiatif Payung Rahmah yang diluncurkan pada 2023 sehingga menjadi suatu fenomena. Bagi tujuan tersebut, RM300 juta diperuntukkan tahun ini untuk program Jualan Rahmah bagi meringankan beban kehidupan rakyat. 

Malaysia Madani dan Rahmatan lil Alamin adalah gagasan yang saling melengkapi dalam mengemudi naratif politik Malaysia Baharu dan perlu diberi perhatian serius untuk kestabilan politik dan penyusunan semula masyarakat Malaysia ke arah satu budaya serta aspirasi bersama. 

Rakyat Malaysia perlu menjauhi segala bentuk amalan bernegara yang dilakukan secara syadid (keras), ekstrem dan radikal. Ideologi radikal atau melampau boleh meresapi sesiapa sahaja tidak kira latar belakang agama mahupun etnik. 

Insiden agama, etnik

Lantaran itulah, gagasan Rahmatan lil Alamin sangat perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan holistik dalam setiap peringkat dasar serta memastikan pelaksanaannya segera digembleng semaksimum yang termampu. 

Negara mencatatkan beberapa insiden berkaitan agama dan etnik berlaku dalam negara ini yang berpunca daripada sikap melampau terhadap agama dan etnik seperti isu Memali, tragedi hartal 1967 di Pulau Pinang, insiden 13 Mei 1969, Kampung Medan dan insiden Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield .

Keadaan ini boleh berulang jika tidak dibawa satu gagasan yang seimbang dan sesuai untuk semua agama, bangsa dan negara. Terbukti gagasan Rahmatan lil Alamin tidak hanya sesuai untuk semua bangsa dan agama, bahkan gagasan ini adalah gagasan fitrah yang sangat diperlukan oleh seluruh manusia. Kasih sayang, hormat menghormati, bertimbang rasa, menyantuni setiap individu dan kelompok secara adil dan bersikap terbuka serta telus dalam setiap tindakan.

Perlu dijelaskan bahawa permasalahan dan isu-isu sosial yang mencengkam negara pada masa kini, maka gagasan Rahmatan lil Alamin diperkenalkan sebagai wadah penyelesaian ampuh untuk semua permasalahan yang berlaku di dalam negara ini. Rahmatan lil Alamin bermaksud membawa rahmat dan kesejahteraan ke seluruh alam. Gagasan yang dipacu oleh ini, kemudiannya haruslah disesuaikan dengan konteks setempat. 

Menurut Prof Madya Mohd Mizan Aslam:

“Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai penyelesaian kepada permasalahan kaum jahiliah dan masyarakat Arab keseluruhannya, tanpa memfokuskan kepada penganut Islam semata-mata, ajaran Muhammad telah memberikan keharmonian dan menjamin hak-hak asasi dan kesamarataan dalam masyarakat Arab merentasi agama dan kabilah.” 

Maka jelaslah segala persoalan dan permasalahan masyarakat mampu diselesaikan melalui gagasan tersebut berjaya dilaksanakan sebaik-baiknya oleh nabi junjungan besar kita, nabi Muhammad SAW lebih 1,400 tahun yang lalu. 

Tanggungjawab pada hari ini adalah meneruskan gagasan yang terbukti berkesan dalam menangani segenap persoalan rakyat dan negara demi mewujudkan sebuah masyarakat Madani yang hidup dalam rukun damai dan sejahtera.

Maka benarlah, “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya ayat, 107)


ZULKIFLI MOHAMED merupakan aktivis parti yang aktif di lapangan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link