Hari ini kita bersama berdiri di ambang fajar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebuah lembaran baharu yang sarat dengan harapan dan cita-cita untuk Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera. Namun tiada pembangunan yang dapat dilakar dengan jayanya tanpa kestabilan politik yang utuh, teguh dan tanpa kacau ganggu.
Kita bersyukur kerana bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan negara kini menikmati fasa kestabilan. Ia yang amat penting bagi membolehkan fokus sepenuhnya diberikan kepada pembangunan negara.
Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PMX dan barisan kepimpinannya yang telah melaksanakan pentadbiran dengan adil dan saksama, membuka ruang untuk inisiatif penting seperti Rahmah terus menyumbang.
Di tengah-tengah cabaran ekonomi global dan tekanan kos sara hidup yang menekan, Inisiatif Payung Rahmah muncul sebagai cahaya harapan. Ia sebuah manifestasi kepedulian yang mengakar terhadap setiap lapisan masyarakat.
Ia bukan sekadar program, tetapi sebuah falsafah yang berasaskan kasih sayang dan belas ihsan yang sedia untuk dipintal erat dalam tiga teras utama ekonomi Madani.
Kemampanan fiskal: Membangun kekuatan negara dengan barakah Rahmah
Kita maklum bahawa kemampanan fiskal adalah tulang belakang sebuah negara yang berdaulat. Tanpa pengurusan kewangan yang berhemah impian membangunkan negara akan terhalang. Di sinilah Rahmah memainkan peranan yang mungkin tidak disangka-sangka namun begitu signifikan.
Kita bersyukur kerana Rahmah, melalui inisiatifnya seperti Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi secara tidak langsung merangsang ekonomi domestik. Apabila rakyat mempunyai lebihan pendapatan kerana perbelanjaan asas yang terkawal maka kuasa beli mereka meningkat. Ini menggalakkan perbelanjaan, memacu perniagaan tempatan dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil untuk negara.
Dari lensa al-Quran, kita diajar tentang konsep keseimbangan dan pengurusan harta yang beramanah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr, mengingatkan kita agar kekayaan tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya. Rahmah, dengan strateginya dapat membantu mengagihkan semula nilai ekonomi, mengelakkan pembaziran dan memastikan sumber negara diuruskan secara bertanggungjawab.
Ia selaras dengan Sunnah Rasulullah SWT yang menekankan kesederhanaan dan pengurusan kewangan yang berhemah. Para ulama seperti Imam Al-Ghazali juga menegaskan bahawa keadilan dalam pemerintahan dan pengurusan harta negara adalah kunci kesejahteraan.
Sebelumnya kita sering melihat data inflasi barangan keperluan makanan yang kerap menjadi penyumbang utama kos sara hidup namun Rahmah telah terbukti menjadi penampan yang berkesan. Inilah harapan ramai agar RMK13 benar-benar akan terus memperkukuh Rahmah seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada subsidi besar-besaran dan memupuk kemampanan fiskal yang lebih utuh.
Keadilan sosial: Rahmah merangkul setiap warga
Inilah teras yang paling jelas mencerminkan semangat Rahmah: keadilan sosial. Kita bersyukur kerana inisiatif ini secara langsung menyasarkan golongan yang paling memerlukan. Golongan teras B40 dan dalam masa yang sama tidak meminggirkan kumpulan M40 dengan menyediakan akses kepada keperluan asas pada harga yang munasabah.
Ini bukan sekadar bantuan tetapi pengiktirafan hak setiap warganegara untuk hidup bermaruah dan menikmati kualiti hidup yang baik. Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah adalah lambang ihsan dan kasih sayang yang membolehkan keluarga memenuhi keperluan asas tanpa dibebani hutang.
Al-Quran sering kali menekankan hak fakir miskin dan kepentingan menolong sesama insan. Firman Allah SWT dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW sentiasa menggalakkan solidariti sosial dan keprihatinan terhadap golongan yang lemah. Konsep takaful yakni saling menjamin dalam Islam adalah inspirasi di sebalik inisiatif Rahmah yang melibatkan kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Ulama seperti Imam Ibn Taymiyyah dan Yusuf Al-Qaradawi telah lama menegaskan peranan penting negara dalam memastikan keadilan sosial dan menyediakan keperluan asas kepada rakyat. Dalam masa yang sama data mengenai jurang pendapatan dan kadar kemiskinan relatif di Malaysia mengingatkan kita bahawa perjuangan ini belum selesai.
Kita menaruh keyakinan dan harapan agar RMK13 akan mengintegrasikan Rahmah sebagai tunjang utama dalam mengurangkan jurang ekonomi, memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada arus kemakmuran negara.
Pertumbuhan mampan dan inklusif: Mencipta kemakmuran bersama
Pertumbuhan ekonomi yang melonjak adalah penting tetapi pertumbuhan yang lebih bermakna adalah kemampanan dan inklusif yang memberi manfaat kepada semua tanpa mengorbankan masa depan. Rahmah, secara tidak langsung menyemai benih pertumbuhan ini. Apabila rakyat kurang tertekan dengan kos sara hidup, pastinya produktiviti pekerja akan meningkat.
Peniaga kecil dan sederhana (PKS) yang mengambil bahagian dalam Rahmah, seperti kedai makan Menu Rahmah atau peniaga Jualan Rahmah akan mendapat pendedahan dan peningkatan jualan seterusnya memacu pertumbuhan dalam sektor yang vital ini. Ini adalah ekonomi ihsan yang menggalakkan perbelanjaan domestik dan keyakinan pengguna dalam membentuk kitaran positif untuk ekonomi negara.
Islam menyeru kita kepada pembangunan yang bertanggungjawab dan kerjasama. Al-Quran menegaskan larangan merosakkan alam sekitar dan kepentingan tolong-menolong dalam kebaikan. Konsep ini selari dengan matlamat pertumbuhan mampan. Nabi Muhammad SAW sendiri adalah contoh seorang peniaga yang adil serta menggalakkan pasaran yang sihat dan produktif. Ulama-ulama terdahulu juga menekankan dasar yang menyokong peniaga kecil untuk kemakmuran bersama. Jika kita melihat data KDNK dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara; Rahmah membantu memastikan pertumbuhan ini bukan hanya pada angka tetapi dapat dirasai oleh setiap keluarga.
Harapan kita adalah RMK13 akan terus membina ekosistem ekonomi di mana inisiatif seperti Rahmah akan dapat memperkasakan PKS, meningkatkan daya saing dan dalam masa yang sama dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Pastinya ia akan menjadikan pertumbuhan ekonomi negara benar-benar inklusif dan lestari.
RMK13: Melakar semula pembangunan
Sebagai rakyat Malaysia, kita menaruh harapan yang tinggi agar RMK13 akan menjadi pelan pembangunan yang benar-benar berlandaskan nilai-nilai Rahmah dalam acuan ekonomi Madani. Kejayaan melakar semula pembangunan negara ini bergantung kepada kesinambungan dasar dan perancangan yang jitu tanpa dibayangi oleh ketidakstabilan politik.
Kita amat bersyukur atas komitmen dan usaha perdana menteri serta Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pentadbiran yang adil dan saksama di samping menjaga keharmonian politik. Kestabilan inilah yang membolehkan inisiatif Rahmah berakar umbi dan berkembang seterusnya membawa manfaat langsung kepada rakyat.
Di saat dunia mengiktiraf kepimpinan perdana menteri yang berprinsip dan tegas di pentas antarabangsa ia bukan sahaja menaikkan imej negara tetapi juga menarik keyakinan pelabur dan rakan dagang.
Namun, pengiktirafan ini perlu diterjemahkan kepada kemakmuran dalam negara. Justeru, amat perlu dan penting untuk rakyat memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan. Tanpa dukungan rakyat yang bersatu hati dengan meminggirkan beza politik pasti segala perancangan terbaik sekalipun akan sukar direalisasikan.
Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, menyokong usaha-usaha kerajaan dan menjadikan RMK13 sebagai mercu tanda kejayaan bersama bagi membina sebuah negara Madani yang makmur, mampan dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT.
ZULKIFLI MOHAMED ialah CEO Yayasan Rahmah Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.