Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan dia menerima satu ugutan melalui emel yang mengarahkannya membayar AS$100,000 jika tidak mahu video seks sejenis membabitkan dirinya disebarkan.
Dalam video di Instagram hari ini, Rafizi berkata dia menerima mesej daripada Anggota Parlimen Subang Wong Chen yang turut menerima ugutan serupa.
Rafizi berkata mereka berdua menerima tangkap layar video berkenaan.
“Kami sama-sama kongsi tangkap layar (video). Rupa-rupanya kami dituduh tidur dengan lelaki yang sama,” katanya.
Katanya lagi, mereka menerima emel itu semalam, manakala pasukan Wong telah membuat laporan polis.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Wong secara ringkas berkata dia akan memberi ruang kepada polis untuk menyiasat perkara itu.
Malaysiakini turut menghubungi Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Mamat, yang mengesahkan laporan telah diterima dan siasatan sedang dijalankan.

Sebelum ini, isteri Rafizi turut menerima mesej ugutan pada 14 Ogos lalu, antaranya yang mengancam anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun dengan jangkitan Aids.
Sehari sebelumnya, anak mereka telah ditarik keluar dari kereta dan dicucuk dengan jarum suntikan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi pernah memberi bayangan yang serangan terhadap anaknya itu ada kaitan dengan pertemuannya dengan pemberi maklumat berhubung bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Dia juga menggesa SPRM untuk menyiasat Farhash selepas nama ahli perniagaan itu dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah.
Video AI
Mengulas lanjut, Rafizi berkata video tersebut dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Saya rasa tujuan sebenar ialah untuk menggodam peranti elektronik saya dan bila dah kena godam, fitnah yang lebih besar boleh dibuat,” katanya.
Menurut Rafizi, peranti elektroniknya kerap menjadi sasaran percubaan godam.
“Saya telah menjadi sasaran sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan yang lepas dan mendapat amaran daripada Apple,” katanya, yang turut menunjukkan tangkap layar notifikasi yang diterimanya.
Percubaan pertama berlaku pada 14 Nov 2024, manakala tiga lagi pada 6 Mac, 25 Jun, dan 3 September tahun ini.
Menurut notifikasi terkini, serangan itu berpunca daripada perisian intip upahan, atau spyware komersial.
Laman Apple menerangkan spyware jenis ini sebagai sangat mahal, kompleks, serta mempunyai perkaitan sejarah dengan entiti berkaitan negara.
Ia juga kerap digunakan terhadap wartawan, aktivis, ahli politik dan diplomat, menurut laman itu lagi.
Rafizi berpendapat serangan terhadap dirinya melalui video palsu, berita palsu dan penggodaman akan terus berlaku.
“Ramai yang ingat senang nak jadi ahli politik. Tapi kalau kita cuba ada pendirian sendiri atau membongkar rasuah atau cuba melawan kepentingan tertentu yang bermaharajalela, sebenarnya kehidupan harian kita akan terus diganggu seperti ini,” katanya.
Dia turut menggesa orang ramai untuk membuat semakan sekiranya menerima emel mencurigakan serta video atau gambar aneh yang mengaitkan dirinya.