Malaysia Oversight

Rafizi sindir k’jaaan Madani – Ambil rasuah bisnes paling untung

By MkiniBM in August 26, 2025 – Reading time 3 minute
Rafizi sindir k’jaaan Madani - Ambil rasuah bisnes paling untung


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan pembebasan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sebagai satu lagi contoh bagaimana kes berprofil tinggi boleh dilepaskan hanya dengan membayar kompaun.

Rabu lalu, Adam Radlan dibebaskan selepas melunaskan kompaun RM4.1 juta, meskipun pertuduhan asal melibatkan jumlah rasuah sekurang-kurangnya RM6.7 juta serta permintaan suapan tambahan sekitar RM6 juta.

“Ini bisnes paling untung – dituduh dapat RM6.7 juta, pulangkan balik dengan membayar kompaun RM4.1 juta, ada lagi RM2.6 juta.

“Margin keuntungan 39 peratus tanpa perlu buat apa-apa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu sebelum ini berdepan dengan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Mengikut pertuduhan Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

e6865648cf42cd71ea277579b403af20
Adam Radlan Adam Muhammad

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah tertuduh membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Bagaimanapun, kata Rafizi, peguam Adam Radlan mengemukakan representasi untuk menyelesaikan kes dengan membayar kompaun, dan pendakwa raya bersetuju.

“Dalam diam-diam, peguam Adam Radlan menulis surat representasi untuk membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta untuk dibebaskan dari tuduhan-tuduhan ini.

“Dalam diam-diam, pendakwaraya bersetuju dan pada mulanya ingin memberikan DNAA (lepas tanpa bebas), tetapi peguam Adam Radlan memohon supaya dibebaskan terus kerana telah membayar kompaun.

“Akhirnya bebaslah Adam Radlan,” katanya.

Rafizi seterusnya membandingkan layanan terhadap kes berprofil tinggi dengan rakyat biasa yang dihukum penjara atas kesalahan kecil.

“Kalau orang biasa curi susu, hukumannya penjara enam bulan.

“Kalau kaum kerabat orang VIP dituduh rasuah atau mencuri, asal bayar balik boleh lepas.

“Lepas ini, kalau ada rakyat biasa yang dituduh mencuri susu atau makanan biasa, mohon maklum kepada saya.

“Saya nak cari peguam untuk buat permohonan yang serupa untuk mengembalikan susu yang dicuri dan minta dibebaskan,” katanya sinis.

Dia juga mendakwa terdapat trend terkini di mana kes rasuah besar diselesaikan dengan pembayaran balik.

“Begitulah al-kisah Malaysia,” katanya merujuk beberapa contoh melibatkan anak dua bekas perdana menteri.

“Dulu kita dengar anak tiri (bekas perdana menteri) Najib (Razak), sekarang ada laporan bahawa Adam Radlan ini sepupu kepada menantu .,” katanya.

Rafizi turut membidas Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya lantang melaungkan isu Melayu terancam, tetapi diam apabila kes melibatkan kroni atau keluarga pemimpin sendiri.

“PN bising pasal Melayu terancam, bab sepupu-sepupu terlepas tuduhan rasuah diam, sudahlah ia berkaitan projek Jana Wibawa dan melibatkan kontraktor bukan Bumiputra.

“Madani bising pasal benteras rasuah tetapi perkara ini tetap berlaku di bawah Perdana Menteri yang terpaling anti-rasuah,” kata bekas menteri ekonomi itu sambil mengingatkan supaya serius melaksanakan agenda membanteras rasuah.



Source link