PARLIMEN | Rafizi Ramli (PH-Pandan) hari ini mempersoalkan jika kelewatan membayar balik cukai yang terlebih bayar sejak 2020 telah menyumbang kepada persepsi kejayaan kerajaan dalam mengurangkan defisit fiskal.
Disebabkan amalan perakaunan tunai kerajaan, kata bekas menteri ekonomi itu, hasil cukai yang diisytiharkan dalam belanjawan negara setiap tahun tidak menolak lebihan bayaran yang mesti dibayar semula kepada pembayar cukai.
“Sebenarnya kalau kita pulangkan balik dan bayar seperti yang sepatutnya, defisit (negara) kita tidak menurun,” katanya semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Dengan mengambil kira lebihan bayaran itu, kata Rafizi, defisit fiskal negara sepatutnya berada pada sekitar 5.8 hingga 6.0 peratus pada 2024, dan bukannya 4.1 peratus seperti yang diumumkan sebelum ini.
Dia juga membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak komitmen pembayaran balik cukai kerajaan persekutuan pada setiap tahun.
Merujuk kepada penyata kewangan kerajaan persekutuan untuk 2024, Rafizi berkata, bayaran balik cukai berjumlah RM14.6 bilion pada 2020 telah meningkat kepada RM21.8 bilion pada 2021, diikuti RM25.7 bilion pada 2022, dan RM25.5 bilion setahun kemudian.
Pada 2024 pula kata Rafizi, bayaran balik cukai itu berjumlah RM33.3 bilion.
Berdasarkan trend itu, katanya. bayaran balik untuk 2025 berkemungkinan lebih besar daripada RM33.3 bilion.
“Kenapa Kementerian Kewangan – baik semasa pentadbiran PN dari 2020 sehinggalah sekarang di bawah kerajaan Madani – tidak memulangkan kembali cukai yang terlebih dikutip daripada rakyat dan syarikat kita sehingga ia melonjak menjadi RM33.3 bilion dalam tempoh empat tahun saja, iaitu peningkatan 128 peratus?” katanya.
Rafizi seterusnya mempersoalkan sama ada masalah kelewatan pembayaran balik cukai itu berpunca daripada kecuaian semata-mata atau melibatkan keputusan yang disengajakan bagi memberi gambaran bahawa kerajaan mencapai sasarannya dalam mengurangkan defisit fiskal.






