Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli percaya bahawa serangan terhadap anak lelakinya merupakan amaran kepadanya supaya tidak lantang bersuara dalam isu tertentu.
“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
“Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan anak Ahli Parlimen Pandan itu diserang secara fizikal oleh orang yang tidak dikenali di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman, yang hadir ke hospital tempat kanak-kanak itu dirawat mengesahkan perkara itu.
Sumber lain berkata serangan berlaku di kawasan tempat letak kereta.
Rafizi berkata sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan HUPM.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM (Hospital Sultan Abdul Aziz Shah) yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini,” katanya lagi.
Rafizi sebelum ini meletakkan jawatannya sebagai menteri ekonomi selepas tewas dalam pemilihan PKR dan dilihat mula mengkritik pelbagai isu semasa termasuk kepada kerajaan Madani.
Antaranya dia tampil menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkenaan kebebasan badan kehakiman dengan menegaskan bahawa kontroversi isu tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk reformasi.
Dia juga melontarkan pendapat bahawa SPRM sudah mempunyai maklumat yang cukup untuk membuka kertas siasatan ke atas bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berdasarkan pendedahan di media sosial berhubung dakwaan skandal arang batu di Sabah.
Terbaru dia juga mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana mengajak pelajar sekolah mengucapkan selamat hari jadi kepada Anwar Ibrahim semasa satu acara sekolah.