Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana mengajak pelajar sekolah mengucapkan selamat hari jadi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa satu acara sekolah.
Dalam hantaran media sosial hari ini, Rafizi menegaskan bahawa sekolah sepatutnya menjadi ruang berkecuali dengan tumpuan kepada penyampaian ilmu, pembinaan nilai dan pembentukan sahsiah, bukannya platform untuk luahan politik.
“Sekolah adalah tempat yang sangat penting untuk kita. Sekolah bukan sahaja memberi ilmu, ia tempat memupuk budaya dan sikap.
“Kalau ya pun dia sangat cintakan PMX dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan dari dia sendiri, tak perlu libatkan murid-murid,” kata Rafizi.
Insiden itu mencuri tumpuan susulan satu video tular di media sosial menunjukkan Fadhlina mengajak murid-murid mengucapkan “Happy Birthday PMX, We Love You” kepada perdana menteri yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 10 Ogos.
Rafizi memberi amaran bahawa tindakan seperti itu berisiko mencipta duluan yang tidak sihat kepada menteri pendidikan pada masa depan, yang mungkin turut meminta pelajar menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang kepada pemimpin politik semasa.
“Bila dia buat begitu, nanti di masa akan datang tak salahlah menteri-menteri pendidikan akan datang meminta murid-murid, pelajar dan siswa menyatakan taat setia dan kecintaan kepada pemimpin lain,” katanya.
Merujuk pendekatannya sendiri sepanjang menjadi ahli Parlimen Pandan, Rafizi berkata dia sangat berhati-hati dalam mencampuradukkan politik dengan pendidikan.
“Sebaik mungkin saya bantu permohonan sekolah-sekolah di Pandan. Tapi saya hanya hadir ke dalam kawasan sekolah sekali sahaja, itu pun sebab dipujuk sangat oleh guru besar.
“Sebabnya ialah saya tidak mahu campur adukkan politik dengan sekolah dan anak-anak kita,” katanya.
Bekas menteri ekonomi itu mengakui kritikannya kali ini lebih sukar kerana ia melibatkan rakan parti sendiri.
“Saya tahu kalau orang lain buat, saya akan marah.
“Tapi kini bila menteri pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu. Lepas ni orang PKR tak boleh kritik dah kalau ada ahli politik masuk sekolah dengan mesej politik,” katanya lagi.