Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa perbelanjaan pembangunan (DE) yang diperuntukan kerajaan tidak mencapai matlamatnya seperti mana dirancang.
Dengan mengambil DE pada tahun 2025 sebagai contoh, Rafizi berkata jika ini berterusan negara hanya membina infrastruktur tanpa nilai tambah kepada keupayaan ekonomi.
“Coraknya jelas. Perbelanjaan pembangunan (DE) tak capai seperti dirancang. Untuk 2025, RM84.7 bilion diluluskan tetapi hanya sekitar RM80 bilion dibelanjakan, kurang lebih RM6 bilion.
“Tahun 2026 pula, DE dianggarkan RM81 bilion, hampir sama dengan tahun sebelumnya dan enam peratus lebih rendah daripada rancangan asal 2025,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Rafizi juga mempersoalkan ke mana kerajaan menyalurkan peruntukan perbelanjaan pembangunan itu.
Katanya, dalam sektor ekonomi negara hampir separuh atau RM17.5 bilion dibelanjakan kepada sektor pengangkutan seperti LRT, MRT dan jalan raya.
“Pertanian cuma sekitar RM550 juta, iaitu satu hingga dua peratus daripada keseluruhan. Kita selalu cakap tentang harga makanan dan kebergantungan pada import, tapi bajet untuk modenkan pertanian masih kecil.
“Kalau corak ini berterusan, kita hanya terus bina infrastruktur tanpa tambah keupayaan sebenar ekonomi. DE bukan sekadar angka tetapi menentukan masa depan, peluang kerja di luar bandar, produktiviti, dan harga makanan,” katanya lagi.






