Malaysia Oversight

Rafizi gembira 95 peratus hasil kerjanya dalam dokumen akhir RMK13 kekal

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
Rafizi gembira 95 peratus hasil kerjanya dalam dokumen akhir RMK13 kekal


Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menzahirkan rasa gembira apabila hampir 95 peratus daripada yang dibangunkan sepanjang proses merangka hingga dia meletak jawatan, kekal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri Ibrahim membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya belum sempat menelaah perkataan demi perkataan setiap muka surat dalam dokumen RMK13 yang dibentangkan hari ini.

“Namun, berdasarkan ringkasan eksekutif yang saya baca setakat ini, saya gembira kerana hampir 95 peratus dari yang dibangunkan sepanjang proses berjalan sehingga saya meletak jawatan, kekal dalam RMK13,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, semua pembaharuan besar yang melibatkan perubahan kepada sistem pendidikan, struktur ekonomi, dan tumpuan kepada perkara baharu seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga, dikekalkan seperti sedia ada.

Dia berkata, selain itu, rekayasa ekonomi yang dimulakan sebelum ini, daripada NETR, KL20, JSSEZ, ‘Made by Malaysia’, beralih ke ekonomi berasaskan ‘consumption powerhouse’, CCUS dan yang dibangunkan serta belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ), semuanya ada.

“Begitu juga beberapa hasil kerja Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuk pelaksanaan ‘anti red tape act’ (Iltizam) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akta Iltizam bertujuan untuk mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

“Insya-Allah, saya akan semak satu persatu pada minggu akan datang. Izinkan saya meneliti setiap muka surat dahulu.

“Saya dijangka akan berbahas mengenai RMK13 hari Isnin atau Selasa depan, seterusnya podcast YBM (Yang Berhenti Menteri) minggu depan (Jumaat, 8 Ogos) saya akan bersama-sama Dr Muhammad (Abdul) Khalid untuk mengupas RMK13 dengan lebih mendalam,” katanya merujuk kepada ahli ekonomi terkenal itu.

Rafizi juga berterima kasih kepada warga Kementerian Ekonomi, pasukan RMK13 dan kakitangan sokongan yang bertungkus-lumus menyediakan dokumen berkenaan selama 20 bulan.

“Maka selesailah satu tanggungjawab besar yang saya dan rakan di Kementerian Ekonomi pikul sejak November 2022, iaitu merangka perancangan masa depan lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan perlu dibuat di saat akhir. Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja.

“Ini bermakna kepemimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik.

“Kita semua ada tugas baharu iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi . Doa saya rakyat juga akan mendapat manfaat di masa akan datang,” katanya lagi.



Source link