Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menggariskan lima kelemahan dalam mekanisme subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi.
Rafizi berkata, mekanisme itu mungkin tidak akan menjimatkan jumlah subsidi RON95 yang dianggarkannya sekitar RM10 ke RM15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.
“Oleh kerana kuota diberikan kepada setiap orang tidak kira kedudukan kewangan, kemungkinan besar jumlah penggunaan minyak tidak akan turun mendadak.
“Kerajaan juga perlu menambah subsidi untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter, jadi kiraan kasar saya bil subsidi kerajaan akan tetap berlegar sekitar RM10 ke 15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.
“Oleh itu, kesan kepada pengukuhan kedudukan fiskal tidaklah sebesar yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran seperti sebelum ini,” kata Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR.
Selain itu, Rafizi juga berkata kaedah pengagihan baru subsidi tidak akan lebih adil berbanding sebelum ini.
“Adakah ini akan mengagihkan subsidi secara lebih adil iaitu golongan kurang berada mendapat bantuan yang lebih banyak dari golongan lebih berada?
“Tidak.
“Oleh kerana golongan lebih berada mempunyai lebih banyak kenderaan dan setiap orang dewasa dalam isi rumah itu kemungkinan mempunyai lesen dan kenderaan sendiri, jumlah subsidi yang pergi kepada kumpulan berada adalah lebih besar dari jumlah subsidi kepada kumpulan kurang berada.
“Dari perspektif menyasarkan semula subsidi, pendekatan yang diambil ini bukanlah menyasarkan semula subsidi, tetapi menghadkan subsidi,” katanya.
Berikut kenyataan penuh Rafizi:
KUOTA 300L SEBULAN RON95
Kerajaan umum hari ini bahawa penyasaran subsidi RON95 tidak akan menggunakan ukuran pendapatan, sebaliknya semua warganegara yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat 300 liter RON95 bersubsidi berharga RM1.99 seliter bermula 30 September ini.
Saya dapat banyak mesej yang meminta komen saya, terutamanya dari pihak media.
Sebelum kita ulas mendalam, kita wajar mengetahui fakta keseluruhan mengenai penggunaan petrol dan subsidi RON95.
-
Anggaran jumlah penggunaan RON95 setiap bulan – ~1.3 ke 1.4 bilion liter
-
Berdasarkan harga semasa minyak mentah USD67 setong dan kadar tukaran AS$1 = RM4.21, anggaran subsidi setiap liter ialah ~60 sen bagi harga RM1.99 seliter
-
Tanpa penyasaran semula subsidi, anggaran jumlah subsidi tahunan RON95 adalah RM10-12 bilion setahun, berbanding perbelanjaan 2023 dan 2024 yang melebihi RM20 bilion setahun akibat harga minyak mentah yang lebih rendah (lingkungan AS$70 berbanding AS$80 tahun 2024)
Sebelum saya ulas mengenai pendekatan yang diambil kerajaan, isu pertama yang perlu kita sentuh ialah sama ada keputusan menyasarkan semula subsidi RON95 ini perlu?
Jawapan saya adalah konsisten iaitu ia baik untuk negara kerana ia memperbetulkan sasaran bantuan kerajaan, dari kumpulan yang lebih berada kepada kumpulan yang lebih memerlukan.
Jika penyasaran semula subsidi RON95 tidak dibuat, bagi setiap RM1 subsidi RON95 yang dibelanjakan oleh kerajaan, keluarga T20 akan mendapat 75 peratus lebih banyak subsidi berbanding keluarga B40.

Negara juga terdedah kepada kesan turun naik harga minyak mentah dunia yang tidak menentu. Bila harga minyak mentah naik melebihi USD80 setong, kos subsidi RON95 mencecah RM20 bilion setahun. Bila jatuh ke paras sekarang, kos turun kepada RM12 bilion. Setiap kali ada lonjakan harga minyak mentah, kewangan negara terdedah.
Jadi saya rasa majoriti ahli ekonomi bersetuju bahawa penyasaran semula subsidi RON95 adalah satu keperluan dalam reformasi ekonomi negara.
Tetapi bagaimana kita dapat manfaat penuh bergantung kepada kaedah pelaksanaan.
Ada beberapa cara yang dibincangkan sebelum ini, terutamanya pilihan sama ada membuat pindahan tunai atau menggunakan harga berbeza mengikut kelayakan bila membeli minyak.
Kerajaan memilih untuk menggunakan kaedah kedua, iaitu harga berbeza (harga subsidi RM1.99 atau harga pasaran sekitar RM2.60 seliter) sehingga kuota 300 liter sebulan setiap seorang yang ada lesen memandu yang sah.
Oleh itu, keberkesanan kaedah ini bergantung kepada matlamat-matlamat berikut:
Pertama:
Adakah ini akan menjimatkan jumlah subsidi RON95 yang dibelanjakan negara dan mengurangkan keperluan berhutang?
Oleh kerana kuota diberikan kepada setiap orang tidak kira kedudukan kewangan, kemungkinan besar jumlah penggunaan minyak tidak akan turun mendadak. Kerajaan juga perlu menambah subsidi untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter, jadi kiraan kasar saya bil subsidi kerajaan akan tetap berlegar sekitar RM10 ke 15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.
Oleh itu, kesan kepada pengukuhan kedudukan fiskal tidaklah sebesar yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran seperti sebelum ini.
Kedua:
Adakah ini akan mengagihkan subsidi secara lebih adil iaitu golongan kurang berada mendapat bantuan yang lebih banyak dari golongan lebih berada?
Tidak. Oleh kerana golongan lebih berada mempunyai lebih banyak kenderaan dan setiap orang dewasa dalam isi rumah itu kemungkinan mempunyai lesen dan kenderaan sendiri, jumlah subsidi yang pergi kepada kumpulan berada adalah lebih besar dari jumlah subsidi kepada kumpulan kurang berada.
Dari perspektif menyasarkan semula subsidi, pendekatan yang diambil ini bukanlah menyasarkan semula subsidi, tetapi menghadkan subsidi.
Ketiga:
Adakah ini akan membebankan lagi rakyat?
Bergantung kepada di mana anda berada dan dalam kategori mana.
Bagi penduduk di luar kawasan bandar (sama ada golongan berada atau kurang berada), ia sepatutnya menjimatkan sedikit kos petrol kerana ada penurunan harga sebanyak 6 sen, sementara pola penggunaan tidak berubah.
Kesannya ialah kepada penduduk kawasan bandar yang menggunakan jumlah petrol yang lebih untuk berulang alik. Bagi sebuah keluarga M40 yang suami isteri bekerja dan menggunakan kenderaan sendiri, sekiranya jumlah penggunaan petrol melebihi 300 liter sebulan sebelum ini, pendekatan ini akan menyebabkan ada peningkatan kos bulanan.
Kepada penduduk bandar dalam kelas berada, juga akan berlaku kenaikan tetapi kesannya kepada kewangan isi rumah tidaklah seperti kesan kepada kelas menengah M40.
Keempat:
Apa trade-off yang berlaku?
Setiap pelaksanaan dasar akan ada apa yang dipanggil trade-off, iaitu ada kebaikan seperti yang dirancang, tetapi ada juga perkara baru yang merumitkan.
Trade-off utama ialah user experience semasa membeli petrol. Besar kemungkinan proses membeli petrol menjadi lebih panjang kerana perlu beratur di kaunter, kecualilah pada satu ketika stesen minyak membenarkan penggunaan kad pengenalan di pam.
Kelima:
Adakah ini akan menghentikan ketirisan?
Ada kemungkinan wujud pula ketirisan baru. Mereka yang tidak memerlukan kuota bulanan 300 liter boleh membeli pada harga subsidi dan dijual balik.
Mereka yang diberikan kemudahan petrol bersubsidi tanpa had, seperti pemandu e-hailing juga boleh membuka risiko ketirisan petrol bersubsidi dibeli pada jumlah yang banyak untuk dijual di pasaran gelap.
Keputusan telah dibuat dan saya pasti perkara-perkara yang saya sebutkan tadi diketahui oleh Kementerian Kewangan yang memilih kaedah ini.
Kita hanya akan dapat mengesahkan kesan keseluruhan kepada kedudukan fiskal negara, matlamat penyasaran dan risiko ketirisan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan dari sekarang.