Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata dia percaya insiden serangan membabitkan anaknya mungkin ada kaitan dengan pertemuan terbarunya bersama “sekumpulan pemberi maklumat” yang memiliki maklumat mengenai skandal yang didakwa melibatkan “seorang individu tertentu”.
Rafizi berkata, dia telah membongkar banyak kes sebelum ini, namun ini merupakan kali pertama dia dan keluarganya menjadi sasaran ancaman – dan dalam kes ini, ancaman tersebut ditujukan kepada isterinya.
“Pihak media pun tahu, saya agak lantang bersuara mengenai isu-isu tertentu dan individu tertentu dalam satu dua bulan kebelakangan ini. Apabila saya mula bersuara, akan ada pemberi maklumat yang tampil dan mereka akan kata ‘saya ada maklumat ini, saya ada maklumat itulah’.
“Sebelum saya bertemu pemberi maklumat pada Rabu lalu, tiada perkara luar biasa berlaku. Tetapi selepas mereka berjumpa saya, insiden ini tiba-tiba berlaku,” kata bekas menteri itu pada sidang media di Parlimen.
“Jadi sebelum saya berjumpa the whistleblowers hari Rabu yang lepas memang tak ada apalah.
“Selepas whistleblowers datang berjumpa saya minggu lepas tiba-tiba perkara ini berlaku,” katanya.
Rafizi tidak menamakan individu terlibat. Namun dalam beberapa minggu kebelakangan ini dia menggesa SPRM membuka kertas siasatan terhadap bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak — seorang ahli politik muda yang kini bergelar usahawan — yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal perlombongan arang batu.
Dia juga berkata ingin meneliti punca yang mungkin mencetuskan insiden tersebut tetapi menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan sama ada wujud kaitan langsung.
“Pandangan saya motifnya ialah bersabit dengan kerja sayalah. It’s not any other motive.
“Kalau mesejnya ialah supaya diam dan jangan sentuh sesuatu perkara it’s natural to think, dalam semua perkara yang saya sentuh yang itulah yang mungkin saya ingat dan whistleblower yang datang jumpa saya pun ialah berkenaan perkara tersebutlah,” katanya.
Menceritakan semula kronologi kejadian, Rafizi berkata insiden itu berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari, diikuti mesej ancaman pertama kepada isterinya pada jam 1.12 pagi, dan mesej kedua pada jam 11.02 pagi.
Isteri diekori
Dia mendakwa isterinya diekori memandangkan dia baru sahaja berpindah rumah dan hanya segelintir orang tahu alamatnya.
“Untuk perkara ini berlaku, kemungkinan memerlukan pemantauan dua hingga tiga untuk tahu (pergerakan dan masa) dan sebagainya. Bila saya kesan semula, walaupun ancaman itu saya fikir baru berlaku semalam, perancangan awal pasti sudah dibuat lebih awal.
“CCTV semua ada, selain keterangan daripada isteri, anak dan pemandu saya, ramai orang kat situ tahu. Polis bantuan pun, semua orang tengok.
“Memang ada CCTV tapi yang itu kita kena serahkan kepada pihak polis kerana it’s full gear, it’s black (Suspek memakai serba hitam) from kasut sampai visor semua. Dia macam drama Korea,” katanya.