Bekas menteri kanan dan orang nombor dua PKR memberi amaran, skandal perlombongan mineral Sabah tidak akan berakhir sekadar di sekitar Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah, Jeffrey Kitingan, semata-mata.
Malah menurut bacaan Rafizi Ramli kesan isu tersebut mungkin meluas dan menyentuh sehingga Putrajaya.
Pun begitu bekas menteri ekonomi itu menjelaskan dia akan terus mengikuti perkembangan isu berkenaan dan yakin ia tidak akan terhenti setakat Kitingan.
“Kebimbangan saya ialah kalau ia juga mula melibatkan tokoh-tokoh dari persekutuan, dari Putrajaya,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Semalam, Kitingan menghabiskan masa selama lebih lima jam untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi berkenaan di Kota Kinabalu.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu bagaimanapun enggan memberi butiran mengenai kenyataan yang diberikannya atas alasan ia sedang disiasat pihak berkuasa.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mendedahkan satu lagi rakaman video – melibatkan Kitingan – yang dikaitkan dengan skandal rasuah di Sabah.
Rakaman video itu didedahkan melalui Malaysiakini.
Tei mendakwa dia membayar Kitingan RM1.78 juta kepada ahli politik itu berhubung pembatalan lesen cari gali mineral.
Rafizi berkata rakyat Malaysia biasanya akan mentafsirkan bahawa selagi ada wang yang bertukar tangan, ia adalah kegiatan rasuah dan mereka tidak peduli sangat apa penjelasan yang diberikan oleh pihak berkuasa atau pemimpin politik.
“Jadi kita takkan boleh tahu apa kesan sebenar (skandal perlombongan Sabah) di peringkat rakyat, kan?
“Kita hanya boleh tahu dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan pada awal tahun ini dia sendiri sudah membangkitkan isu rasuah kepada Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Hal itu kerana, kata bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan lagi, dia risau melihat perhatian orang ramai terhadap rasuah apatah lagi ia berlaku ketika PH menjadi kerajaan.
Tambahnya, salah satu kekuatan utama PH berbanding pesaingnya di mata orang ramai ialah pendirian parti itu yang kukuh menolak rasuah.
Tanpa menjelaskan tempat rujukannya, Rafizi mendakwa: “Satu daripada tiga rakyat Malaysia – dalam tempoh lebih dua tahun iaitu sejak Anwar menjadi perdana menteri – merasakan bahawa rasuah adalah isu besar”.
Keadaan itu, katanya lagi, berbeza berbanding keadaan pada 2022.
Justeru, menurut Rafizi, itulah punca dia menimbulkan kebimbangan mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dan bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Baru-baru ini dalam temu bual dengan KiniTV melalui program Explain Sikit, Kini! Rafizi mengingatkan Anwar bahawa hubungan perdana menteri itu dengan Farhash – jika dibiarkan – boleh mendedahkan kerajaan kepada kesan sama seperti skandal 1MDB terhadap kerajaan BN.
Dia menggambarkan keadaan itu sama dengan isu hubungan Najib Razak – yang menjadi Presiden Umno dan perdana menteri ketika itu – dengan ahli perniagaan buruan, Jho Low.
Skandal tersebut menyumbang kepada jatuhnya kerajaan BN pada 2018.
Untuk rekod sebelum ini Farhash dikaitkan dengan dua dakwaan berprofil tinggi, dengan satu daripadanya berkaitan lesen perlombongan cari gali yang kontroversi di Sabah.






