Pempengaruh dan aktivis isu Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim, dipanggil polis untuk siasatan kes menghalang tugas bailiff (pegawai mahkamah yang menyampaikan writ dan saman) yang diarahkan mengosongkan kediaman penduduk kampung berkenaan.
Menurut Rafidah, dia dipanggil oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi dirakam keterangan.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak pasti siasatan itu dijalankan di bawah undang-undang apa.
“Pada 16 Julai lalu bailiff telah dihantar ke Kampung Sungai Baru, di mana saya dikatakan menghalang tugas mahkamah… cumanya ambil masa lah (dia dipanggil), kejadian berlaku tengah bulan tujuh, hujung bulan lapan baru dipanggil.

“(Siasatan) di bawah siasatan jenayah, yang dipanggil saya dan (Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai), Zainab Alias,” katanya ketika ditemui media di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Dakwaan pemaju ugut
Rafidah menjelaskan Zainab tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kesihatan.
Pada 17 Julai lalu, Rafidah bersama penduduk kampung bertindak menghalang usaha pengusiran baki penduduk Kampung Sungai Baru.

Mereka menahan cubaan pemaju mengosongkan rumah-rumah di kawasan tersebut yang dirancang untuk pembangunan semula.
Isu Kampung Sungai Baru terus berlarutan ekoran sebahagian penduduk enggan berpindah kerana tidak bersetuju dengan nilai pampasan yang ditawarkan.
Rafidah turut mendakwa penduduk yang menolak untuk berpindah berdepan ugutan daripada pihak pemaju.
“Mereka akan hantar sekali bailiff dan akan mengunci rumah-rumah yang masih berpenghuni.

“Meskipun mereka akan menghantar bailiff, tapi penduduk tidak akan berganjak keluar, penduduk akan duduk dalam rumah mereka,” katanya.
Menurut Rafidah, bailiff dijangka akan kembali ke kampung itu pada 11 September depan.