Malaysia Oversight

Qabil catat podium, Hakim tempah petak ke-17

By Utusan in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
Qabil catat podium, Hakim tempah petak ke-17


PETALING JAYA: Qabil Irfan Azlan terus mencipta kecemerlangan di pentas antarabangsa apabila pelumba cilik negara itu melengkapkan aksinya di kedudukan ketiga dalam perlumbaan 1 bagi kelas ESBK Talent pada Kejohanan Superbike Sepanyol di Litar Jerez, Sepanyol, hari ini.

Anak muda berusia 13 tahun itu yang hanya bermula dari petak ke-17, memacu laju jenteranya untuk menamatkan perlumbaan di atas podium dengan catatan masa 26 minit 12.242 saat (s).

Pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza menjuarai perlumbaan tersebut dengan lakaran masa terpantas 26:11.872s, manakala, tempat kedua menjadi milik Alessio Arnold dari Switzerland yang mencipta masa 26:12.179s.

Walaupun meraih kedudukan ketiga, anak jati Terengganu itu yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team telahpun lebih awal mengesahkan kejuaraan musim ini menjadi miliknya di Litar Estoril, Portugal, September lalu.

Dengan keputusan, hari ini, Qabil menokok 16 mata lagi yang sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan 268 mata berjaya diraih pelumba berbakat besar itu.

Esok, Qabil akan beraksi sekali lagi dalam perlumbaan 2 yang merupakan aksi penutup musim sebelum dia dinobatkan secara rasmi sebagai juara keseluruhan ESBK Talent.

hakim
Hakim Danish Ramli perlu bekerja keras dalam perlumbaan, esok, selepas sekadar menempah petak ke-17 dalam sesi kelayakan 2 Moto3 pada Grand Prix Motosikal Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, hari ini. – Ihsan MSi Racing Team

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lagi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan aksinya dari petak ke-17 bagi aksi Moto3 pada Grand Prix (GP) Motosikal Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, hari ini.

Hakim Danish yang beraksi di atas kapasiti sebagai pelumba ganti bersama pasukan Frinsa MT Helmets-MSi mencatat masa sepusingan 1:47.817s pada sesi kelayakan 2 (Q2).

Rakan sepasukan Hakim Danish, Angel Piqueras melakar masa ketiga terpantas menerusi catatan sepusingan 1:46.927s dan pelumba Sepanyol itu yang telah mencatat enam keputusan podium menghuni kedudukan No. 2 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3 dengan kutipan 251 mata.

Pelumba Australia, Joel Kelso dari pasukan Levelup-MTA menempah petak pertama dengan catatan masa terpantas 1:46.764s, manakala, Scott Ogden dari pasukan CIP Green Power di kedudukan kedua selepas melakar masa sepusingan 1:46.833s. – UTUSAN





Source link