Malaysia Oversight

Qabil akhiri perlumbaan 2 di tangga kelima

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
Qabil akhiri perlumbaan 2 di tangga kelima


PETALING JAYA: Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan menutup aksinya, musim ini, di kedudukan kelima dalam perlumbaan 2 bagi kelas ESBK Talent pada pusingan ketujuh Kejohanan Superbike Sepanyol di Litar Jerez, Sepanyol, hari ini.

Melakar masa 11 minit 20.246 saat (s), kedudukan pelumba yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team itu, bagaimanapun, tidak tergugat selepas dinobatkan lebih awal selaku juara keseluruhan bagi musim 2025 semasa pusingan keenam di Portugal lagi pada September lalu.

Pelumba tuan rumah, Iker Rodriguez menjuarai perlumbaan 2 dengan catatan masa terpantas 11:19.836s, manakala, naib juara menjadi milik Andres Garcia (11:19.856s) dan David Peris di tempat ketiga (11:19.919s).

Selaku juara keseluruhan, Qabil berjaya mengumpul 279 mata selepas menokok 27 mata dalam perlumbaan 1 dan 2 di Litar Jerez.

Dalam perlumbaan 1 yang berlangsung, semalam, menyaksikan Qabil berjaya melengkapkan aksinya di kedudukan ketiga dengan catatan masa 26:12.242s.

Qabil ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir berkata, dia berasa bersyukur berjaya menamatkan perlumbaan 2 di kedudukan kelima.

“Perlumbaan sangat sengit, bukan rezeki saya untuk naik podium sekali lagi.

“Insya-Allah, saya akan terus berusaha lagi untuk perlumbaan akan datang,” katanya. – UTUSAN





Source link