PETALING JAYA: Impian pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan untuk sekali lagi bergelar juara dunia pada perlumbaan akhir Kejohanan Dunia FIM MiniGP 2025 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, tidak kesampaian.
Kali ini, Qabil yang bersaing dalam kategori utama 190cc sekadar berada di kedudukan keempat dalam penyertaan terakhirnya pada kejuaraan tersebut.
Pada saingan penentuan Perlumbaan Super Final Race, anak muda kelahiran Terengganu itu yang bermula di petak kelima kurang bernasib baik apabila dilanggar pelumba Britain, Ethan Trevorrow di selekoh terakhir, sekali gus, terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Walaupun kecewa, Qabil, 13, terlebih dahulu membuktikan kehebatannya apabila berjaya menaiki podium di tempat ketiga dalam perlumbaan 2, menebus kegagalan dalam perlumbaan 1 selepas dia terjatuh ketika sedang mendahului saingan.
Mengambil kira keputusan dalam perlumbaan 1, 2 dan Super Final telah menempatkan Qabil di kedudukan keempat keseluruhan selepas mengumpul 45 mata.
Rakan seperjuangan Qabil, Adam Aiman Ameer Ali, 13, turut menampilkan semangat juang yang tinggi untuk menamatkan saingan keseluruhan di tempat ke-15.
Pelumba China yang mewakili MiniMoto Sepanyol, Shengbo Sun dinobatkan sebagai juara keseluruhan 190cc selepas mengumpul 95 mata, manakala, Dieogo Gonzalez dari Venezuela di tempat kedua (78 mata) dan wakil Jerman, Ole Sauberlich di kedudukan ketiga (46 mata).
Sementara itu, dalam saingan kategori 160cc, seorang lagi wakil negara, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff menamatkan aksi di kedudukan ke-11 keseluruhan selepas mengutip 16 mata.
Seorang lagi pelumba cilik negara, Qasha Irfan tidak berjaya meloloskan diri ke perlumbaan utama selepas tidak melepasi sesi kelayakan apabila perlumbaan kelayakan itu ditamatkan lebih awal akibat red flag.
Pelumba Poland, Witold Dariusz Kupczynski dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 95 mata, manakala, Daniel Putorti dari Itali muncul selaku naib juara (72 mata) dan pelumba Poland, Jan Babiarz tempat ketiga (71 mata).
Pengurus pasukan FIM MiniGP Malaysia, Zulfahmi Khairuddin berkata, Qabil kurang bernasib baik pada penyertaan kali ini selepas dilanggar pesaingnya.
“Secara keseluruhan, minggu ini memang sangat mencabar, ada sedikit kesilapan atau salah percaturan semasa sesi kelayakan dalam kategori 160cc.
“Walau apa pun, kita tetap cuba bangkit dalam perlumbaan dan berjaya meraih satu podium menerusi Qabil,” katanya yang kurang berpuas hati dengan pencapaian para pelumba bagi edisi kali ini. – UTUSAN






