LONDON: Putera Harry pada Khamis mengunjungi Diana Award di tengah London sebagai acara terakhirnya, dan mendengar perkongsian golongan belia mengenai bagaimana tindakan sosial memberi kesan positif terhadap kesihatan mental mereka, lapor PA Media/dpa.
Harry meluangkan kira-kira sejam berbual bersama kumpulan yang hadir serta menyertai sesi panel anjuran badan amal yang ditubuhkan bagi memperingati mendiang bondanya, Puteri Diana, sebelum beredar sekitar pukul 11.18 pagi (1018 GMT).
Dalam langkah yang dilihat sebagai usaha kecil tetapi penting ke arah perdamaian, Harry sebelum itu mengunjungi Raja Charles III untuk minum petang secara tertutup pada Rabu, meluangkan 54 minit bersama ayahandanya di Clarence House selepas 19 bulan tidak bersua muka.
Bagaimanapun, Harry masih renggang dengan kakandanya, Putera William. Pertelagahan lama antara mereka yang dahulunya akrab masih belum menunjukkan tanda akan berakhir, dengan kedua-duanya tidak bertemu sepanjang kunjungan itu.
Acara terakhir Duke of Sussex itu kekal secara solo. Diana Award masih menerima sokongan daripada Harry dan William sebagai memperingati legasi bonda mereka.
Tiada sebarang perbincangan mengenai pertelagahan keluarga diraja dibuat pada majlis itu, sebaliknya Harry menekankan mesej harapan untuk generasi baharu.
“Penglibatan dalam tindakan sosial secara aman memerlukan keberanian dan keazaman. Anak muda melihat sendiri isu-isu yang dihadapi masyarakat – sama ada kesihatan mental yang terjejas atau kesan ketidaksamaan.
“Tetapi anda tidak berdiam diri; empati dan belas kasihan anda mendorong kamu mencetuskan perubahan. Tujuan yang digabungkan dengan tindakan boleh mengatasi rasa putus asa, dan itulah yang anda tunjukkan hari ini.
“Bonda saya percaya pada kuasa dan peranan anak muda dalam memberi impak positif kepada dunia. Diana Award meneruskan legasinya dengan meletakkan anak muda sebagai teras segala usaha mereka,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Majlis itu dihadiri kira-kira 40 orang dengan sesi panel menampilkan Lottie Leach, Elsa Arnold dan Idorenyin Hope Akpan, ketiga-tiganya berusia 23 tahun, serta dipengerusikan Dan Lawes, penerima Anugerah Legasi organisasi itu sebelum ini.
Harry kini dijadualkan pulang ke California untuk bersama isterinya, Meghan, Duchess of Sussex, serta dua anak mereka, Putera Archie dan Puteri Lilibet – BERNAMA-PA MEDIA/dpa