GEORGE TOWN : Pulau Pinang akan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial termasuk penglibatan pempengaruh serta pencipta kandungan dalam mempromosikan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pendekatan tersebut dianggap lebih efektif serta selari dengan perkembangan semasa ketika ini.
“Secara kebetulan juga, peserta-peserta dari program All Star Influencers Award atau ASIA 2025 (yang terdiri daripada pempengaruh dan pencipta kandungan) singgah di Pulau Pinang selama beberapa hari bermula semalam.
“Kesempatan yang ada sepanjang berada di sini (Pulau Pinang) boleh mereka guna dengan sebaiknya untuk membantu kerajaan negeri mempromosikan produk-produk pelancongan dari negeri ini.
“Saya difahamkan, mereka (peserta ASIA 2025) ini datang dari banyak negara dan masing-masing ada pengikut yang ramai di negara masing-masing.
“Jadi, secara tidak langsung, apa yang mereka kongsi (di media sosial) mengenai Pulau Pinang akan membantu mempromosikan Malaysia dan Pulau Pinang dalam kalangan pengikut-pengikut mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyantuni kumpulan peserta tersebut dalam satu majlis makan malam khas di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Program ASIA 2025 secara keseluruhannya menampilkan 30 peserta daripada beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Korea, Vietnam, Jepun, Pakistan, India, Filipina serta beberapa negara lain.
Difahamkan, selain Pulau Pinang, peserta yang terlibat turut dibawa menjelajah beberapa negeri lain di Malaysia termasuk Melaka, Selangor dan Langkawi di Kedah sebelum menamatkan siri jelajah tersebut di Sabah, bulan depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai berkata, Pulau Pinang merekodkan jumlah kedatangan pelancong yang luar biasa sepanjang cuti sekolah bulan ini.
“Seperti yang kita sedia maklum, cuti sekolah kali ini turut bersambung dengan cuti Hari Malaysia dan Pulau Pinang menjadi tuan rumah untuk sambutan tersebut di peringkat kebangsaan pada tahun ini.
“Jadi, peningkatan bilangan pelancong itu memang sangat ketara,” katanya yang memberitahu, hotel-hotel serta rumah penginapan juga penuh dengan tempahan sejak cuti sekolah bermula 13 September lalu.-UTUSAN