Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya memberi jawapan ringkas ke atas cabaran yang dibuat Dr Mahathir Mohamad untuk mengheretnya ke mahkamah dalam isu Pulau Batu Puteh.
“Biarlah dia,” kata Anwar seperti dipetik Sinar Harian, di perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.
Dua hari lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat yang Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahathir atas faktor usianya yang sudah lanjut, serta statusnya sebagai bekas perdana menteri.
Keputusan itu dibuat walaupun Mahathir bersalah dalam isu itu, menurut Anwar lagi.
“Kita ambil keputusan ini kerana melibatkan mantan PM yang umurnya 100 tahun. “Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.
“(Tapi) apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan,” katanya.
Mahathir kemudian menegaskan dia tidak memerlukan imuniti malah mencabar agar dia didakwa di mahkamah jika kerajaan berpendapat ada kesalahan yang dilakukan dalam isu tersebut.
Dalam nada menyindir, Mahathir yang kini berusia 100 tahun itu juga berkata, imuniti hanyalah untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.
Tahun lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan agar siasatan jenayah dibuat terhadap Mahathir.
Dalam laporan yang telah dinyahklasifikasi di Parlimen pada 5 Disember, RCI menyatakan Mahathir telah mengelirukan Jemaah Menteri pada 2018 untuk menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.