PULASAN | Hari masih awal, sebenarnya, tapi dalam konteks sambutan Hari Kebangsaan, jam 9.30 pagi dianggap sudah lewat. Tetapi orang ramai masih berpusu-pusu di stesen MRT Putrajaya Sentral. Berbondong-bondong manusia menyerbu bas pengantara yang taat berbaris di tepi jalan.
Di kerusi baris terdepan dalam sebuah bas dua tingkat, seorang lelaki Cina berusia lingkungan 40-an memegang dua telefon. Satu berbunyi kuat dan kedengaran suara pengulas siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan berceloteh itu ini. Dia meletakkan telefon itu di depan dan leka menonton.
Di sisi yang satu lagi dua perempuan India teruja mengambil gambar dan video. Barangkali pasangan anak beranak.
Ketika helikopter pasukan keselamatan negara terbang melintas di udara, wanita itu segera merakam video. Rasanya imej itu tidak kelihatan jelas pun kerana ia dibatasi oleh cermin depan bas, tetapi dia leka merakam dengan senyum melebar.
Sejurus kemudian lima jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia pula melintas megah. Ramai yang teruja ketika bas tersebut masih belum bergerak. Terdengar bermacam-macam dialog yang terapung dalam udara bas Prasarana itu.
Bas akhirnya bergerak perlahan-lahan menuju pusat perarakan sambutan Hari Kebangsaan. Tidak jauh dari situ – di laluan sebelah – berbarislah kenderaan yang menjadi aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebelum diikuti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Semua mata terarah ke sebelah kanan. Tanpa diajar atau diarahkan, semua nampak teruja dengan sesetengahnya melambai-lambaikan tangan dari dalam bas. Entah dilihat anggota tentera terbabit atau tidak, tetapi semua tersenyum dan rasa bangga.

Di tepi jalan raya, berbaris orang pelbagai bangsa dan latar belakang – ada yang muda, yang tua, yang dewasa, yang baik. Suasana kadang-kadang kelihatan seperti sambutan hari raya, bukan hari kebangsaan.
Kemudian di kawasan laluan utama perarakan, anak semua bangsa berbaris dengan kebanyakannya ada bendera di tangan masing-masing. Ia dikibar-kibarkan dengan penuh keriangan. Suasana bergema dengan lagu-lagu patriotik sebagai latar. Anak Cina, anak India, anak semua bangsa menyanyi dengan gembira.
Masa untuk pamer bangga
Tiba-tiba seorang pemuda Cina tergesa-gesa berpaling dan bergegas ke belakang. Di tangannya ada sebuah kamera.
“Oh, it’s so cute!” katanya.
Dia kemudian menghalakan lensanya ke atas sedikit. Di sana ada tiga kanak-kanak Melayu berbaju warna-warni sedang duduk berbaris di atas satu tempat yang agak tinggi. Tidak lama kemudian datang dua tiga orang lagi ‘menumpang’ untuk merakamkan aksi kanak-kanak terbabit.
Lagu-lagu patriotik terus bergema. Orang ramai – khususnya yang muda – terus menyanyi bersama walaupun bukan beramai-ramai. Masing-masing terhibur nampaknya. Bagi yang lebih berusia barangkali mereka lebih senang bernyanyi dalam hati.
Lagu-lagu itu mengingatkan mereka kepada zaman bertahun-tahun dulu. Ketika kempen Setia Bersama Rakyat (Semarak) hasil otak geliga Allahyarham Mohamed Rahmat, misalnya. Atau kemerduan suara Francissca Peter mendendangkan lagu Setia.
Apabila polis membenarkan orang ramai berjalan di laluan perarakan – selepas orang kenamaan beredar dari pentas utama – keadaan tetap meriah. Di sana sini orang ramai mengambil peluang bergambar dengan apa saja yang dirasakan menarik.

Dengan anggota polis gerak khas, atau ‘abang bomba’ bermotosikal, atau anggota Jabatan Siasatan Jenayah (CID) yang sado.
Hari ini ialah hari untuk orang ramai dan pasukan pihak berkuasa berhubung dengan lebih ramah, kurang protokol dan saling memesrai. Bukan selalu ada peluang sebegitu.
Tarikh keramat 31 Ogos adalah detik untuk semua orang menyatakan rasa bangga kepada negara dan menghargai kemerdekaan. Ia juga sepatutnya masa untuk semua orang menginsafi diri betapa bertuahnya memiliki tanah air yang semakmur ini.
Cerita Singapura berulang-ulang
Tetapi bayangkan begini. Selepas kamu berpagi-pagi mahu melihat detik bersejarah yang gemilang, atau bersusah-payah dan bersesak-sesak mahu memeriahkan sambutan tarikh 31 Ogos, dan kamu berbangga sebagai rakyat Malaysia, tiba-tiba ada orang atau kumpulan menuduh kamu sebagai pengkhianat, atau tidak punya setia yang bulat kepada negara.
Atau kamu digelar “seekor Cina’ yang masih memberikan ketaatan kepada China hanya didorong oleh kegelojohan sesetengah manusia berhati busuk mahu melihat rakyat negara ini bercakaran sesama sendiri.
Selepas memberikan masa, tenaga dan segala-galanya untuk negara yang dicintai, apa rasanya kalau kita terus dicurigai sebagai bangsa yang mahu menjajah dan menyingkirkan bangsa lain? Adakah selamanya kita perlu hidup dalam suasana yang saling membenci?

Adakah kita harus bernafas bersekali dengan syak wasangka bahawa hanya kita saja yang cintakan negara ini manakala “orang lain” atau “pendatang” selamanya tidak boleh dipercayai. Mereka menjauhi pasukan keselamatan, misalnya, kita gelarkan sebagai bangsa yang tidak patriotik. Apabila mereka memohon menyertai pasukan keselamatan, kita anggap mereka sedang merancang sesuatu yang jahat.
Dan kita didendang-dendangkan dengan nasib orang Melayu di Singapura.
Entah mahu ke mana kita ini mahu dibawa oleh makhluk penunggang, perosak, dan pelampau itu.
Bayangkan kalau bangsa Melayu – yang setelah memberikan sepenuh ketaatan dan khidmat kepada sesebuah negara yang menaunginya – pula dicurigai, dibenci dan dianggap seperti haiwan. Tapi itulah masalahnya. Kita selalu berfikir mengikut apa yang kita “suka”, bukan apa yang kita “ada.”
Sejurus selepas tengah hari, satu demi satu MRT meluncur dari Putrajaya Sentral menuju stesen penghujungnya di Kwasa Damansara. Dua wanita bukan Melayu – dalam lingkungan usia 20-an atau 30-an – leka melayan telefon masing-masing.
Pada pipi mereka masih utuh hiasan bendera Malaysia yang dilekatkan sejak dari Dataran Putrajaya tadi. Entah mereka tahu atau tidak tentang insiden “seekor Cina” yang mengganggu kelancaran sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak tadi pagi.
Garis bawahnya ialah: kejahatan adalah kejahatan. Bangsa pelaku jahat itu adalah perkara lain. Semua bangsa ada jahatnya, tetapi semua bangsa juga ada baiknya. Kecuali di negara ini, barangkali.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu berasa jengkel pada pemandu yang tak reti bahasa di persimpangan lampu isyarat.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.