Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan polis tidak menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sindiket penipuan.
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mendakwa polis hanya menyiasat dan mendakwa pihak yang menjadi mangsa keldai akaun.
Laporan itu berhubung seorang remaja, Einstein Cornelius Herman, 19, yang menjadi mangsa keldai akaun oleh sindiket yang pada mulanya menawarkan pekerjaan kepadanya, dan kemudian berdepan siasatan.
“Einstein merupakan mangsa namun dianggap scammer oleh polis. Malah dia disuruh mengaku bersalah oleh polis di mahkamah untuk memudahkan urusan.
“Namun, selepas mengaku bersalah dia dipanggil oleh satu demi satu balai polis untuk jalankan siasatan terhadap laporan yang diterima. Dia direman namun tiada siasatan menyeluruh dijalankan,” dakwa Arutchelvan ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, kata Arutchelvan, pihaknya menuntut Suhakam menyiasat kaedah pihak berkuasa dalam menangani perkara itu, yang didakwanya sebagai “menangkap mangsa dan bukannya scammer”.
“Suhakam juga diminta menyiasat (dakwaan) penahanan berterusan secara roadshow (dari satu balai polis ke balai polis yang lain) terhadap mangsa,” katanya lagi.
Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Suhakam Mohd Hishamudin Md Yunus.
Enstein dan ibunya, Wilhelmina Avila Beda turut hadir hari ini.
‘Ingatkan selesai lepas bayar denda’
Wilhelmina menuntut pihak berkuasa untuk melihat dengan teliti apa yang berlaku terhadap anaknya.
“Perkara ini tak pernah berlaku pada kami, apabila polis minta anak saya mengaku bersalah dan membayar denda di mahkamah, saya ingatkan ia telah selesai.
“Tapi sebaliknya berlaku. Anak saya dipanggil ke balai polis untuk diserahkan resit bayaran denda, kemudian dia terpaksa pergi ke satu demi satu balai polis untuk siasatan dan ditahan.
Dalam pada itu, Arutchelvan menggesa pihak berkuasa, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), memantau perkara itu, khususnya berhubung pembukaan akaun dan syarikat membabitkan remaja.
Katanya, ini kerana Einstein pada mulanya ditawarkan kerja dan diarahkan membuka akaun bank dan syarikat, sebelum kad banknya diambil oleh sindiket.
Pihak polis yang menerima maklumat juga perlu membuat siasatan menyeluruh, termasuk penggunaan akaun dan identiti pihak yang membuat transaksi menerusi akaun tersebut.