PSM melancarkan kempen kutipan dana bagi membeli sebuah bangunan untuk dijadikan ibu pejabat baru mereka, dengan harapan agar perbelanjaan semasa untuk sewa dapat dialihkan kepada pembangunan jangka panjang parti.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan memberitahu Malaysiakini bahawa idea untuk memiliki bangunan sendiri telah dibincangkan sejak tahun 2015, tetapi sering tergendala kerana kekangan kewangan.
“Kami sebenarnya telah mula mengumpul sedikit dana sejak awal untuk membeli bangunan sendiri, tetapi kami dapati harganya sangat mahal, terutamanya di Kuala Lumpur. Kami juga mahu lokasi yang mudah diakses dengan pengangkutan awam.
“Kami menerima kunjungan ramai individu dari pelbagai komuniti ke pejabat PSM, dan kami mahu tempat itu mudah dicapai untuk semua. Kami ada pekerja ladang, komuniti miskin, dan juga sayap belia kami yang semakin berkembang, yang sering menggunakan ruang tersebut untuk pelbagai acara. Jadi kami sedar, kami perlukan ruang yang lebih besar dan kekal, di mana kami boleh terus membina komuniti kami.

“Apabila memikirkan berapa banyak wang yang telah kami belanjakan untuk sewa selama ini, harapnya kita boleh memiliki bangunan sendiri, dan dana itu boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya.
Bendahari PSM, Soh Sook Hwa pula berkata bahawa parti itu menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM500,000 bagi pembelian tersebut.
“Tetapi idealnya, sasaran kami ialah RM1 juta. Ini bagi memastikan kita mempunyai dana yang mencukupi untuk penyelenggaraan jangka panjang hartanah itu, dan juga untuk terus membiayai parti agar kita boleh memperluas aktiviti serta mempertingkatkan kerja-kerja di cawangan-cawangan,” katanya.
Walaupun parti ini pernah menganjurkan kutipan dana tahunan bagi projek lain dan kempen pilihan raya, Soh menjelaskan ini merupakan kempen kutipan dana terbesar mereka setakat ini.
Lebih ramai sokong sosialisme
Soh dan Arutchelvan turut menekankan peningkatan keahlian parti dalam kalangan belia dan menyifatkan ia sebagai salah satu faktor keperluan untuk ruang ibu pejabat yang lebih besar dan kekal.
“Kami sememangnya melihat peningkatan dalam kalangan ahli muda PSM, terutamanya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun kebelakangan ini. Sayap belia kami juga semakin membesar, jadi kami perlukan ruang untuk menampung mereka.
“Kami perhatikan perubahan dalam demografi penyokong — pada asalnya, penyokong utama kami terdiri daripada pekerja ladang dan buruh, tetapi kini semakin ramai anak muda bandar dan juga lebih ramai anak muda Melayu yang menyokong kami,” kata Arutchelvan.

Soh (gambar atas) berkata kemasukan lebih ramai anak muda dalam parti turut mencerminkan trend global, dengan golongan muda semakin hilang keyakinan terhadap sistem sedia ada dan dahagakan alternatif.
“Anak muda di Malaysia kecewa kerana kerajaan tidak menjalankan tugas dengan baik.
“Pembangkang yang ada sekarang pun tidak berkesan, jadi mereka melihat PSM sebagai alternatif yang selari dengan nilai-nilai mereka,” katanya.
Menurut Soh, sekurang-kurangnya 20 peratus ahli parti terdiri daripada mereka yang berumur bawah 30 tahun dan ramai daripada mereka hanya mendaftar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Pengerusi sayap belia PSM, Amanda Louis menyifatkan peningkatan keahlian dalam kalangan anak muda sebagai simbol harapan.
“Semakin ramai anak muda sedar bahawa kehidupan dalam sistem kapitalisme semakin tidak lestari.
“Terdapat juga kebimbangan yang meningkat terhadap kos sara hidup yang melonjak, ketidakjaminan pekerjaan, krisis iklim yang semakin teruk — semuanya terasa sangat membebankan.
“Saya rasa itulah sebab ramai anak muda kini cenderung ke arah haluan kiri dan menyertai PSM memberikan harapan bahawa perubahan adalah mungkin, agar kita bersama-sama dapat membina Malaysia yang lebih baik.”

Amanda turut menekankan keperluan untuk lebih banyak ‘ruang ketiga’ bagi tujuan pembangunan komuniti dan berharap ibu pejabat baru itu boleh memainkan peranan sebagai “ruang ketiga yang selamat”.
“Ramai anak muda telah menyuarakan keperluan untuk lebih banyak ‘ruang ketiga’: iaitu ruang awam tidak formal yang berbeza daripada rumah dan tempat kerja, yang dapat memupuk interaksi sosial dan komuniti — sesuatu yang sangat kurang di Malaysia.
“Kita asyik lihat lebih banyak pusat membeli-belah dibina, tetapi semuanya berkait dengan budaya kepenggunaan. Kita perlukan alternatif kepada itu,” katanya.
Inspirasi kempen Malaysiakini
Sebagai sebahagian daripada inisiatif kutipan dana ini, PSM akan menganjurkan satu majlis Hi-Tea pada 24 Ogos, dengan penyokong boleh membeli batu bata sebagai bentuk sumbangan bagi ibu pejabat baharu parti.
“Kami terinspirasi oleh apa yang Malaysiakini lakukan beberapa tahun dahulu, di mana para penyokong digalakkan untuk membeli batu bata bagi membantu mereka berpindah ke pejabat baru.
“Jadi kami memang beri kredit kepada Malaysiakini atas idea ini. Kami bincangkan perkara ini dalam mesyuarat, dan putuskan untuk mengikuti jejak langkah Malaysiakini bagi membiayai bangunan baharu kami,” kata Arutchelvan.

Untuk rekod, Malaysiakini telah menjalankan kempen kutipan dana pada tahun 2013, merayu penyokong membeli batu bata pada harga RM1,000 setiap satu untuk membantu membiayai pembelian bangunan baru di Petaling Jaya, yang kini menjadi pejabat portal media itu.
[Baca berita asal]