Malaysia Oversight

PSM dakwa polis salah guna kuasa

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 2 minute
PSM dakwa polis salah guna kuasa


Pihak polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan, dan mengarahkannya supaya hadir ke ibu pejabat Polis Dang Wangi malam ini, susulan insiden ketika penyerahan memorandum di luar Parlimen pada 13 Ogos lalu.

Arutchelvan mengesahkan perkara itu pada sidang media di ibu pejabat PSM di Kuala Lumpur hari ini dan mengatakan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menghubungi peguamnya malam tadi.

Dia mempersoalkan alasan penangkapan itu dan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa memandangkan dia telah memberi kerjasama sepenuhnya pada 14 Ogos lalu ketika pertama kali disiasat dan dipanggil berhubung insiden tersebut.

“Semalam yang nampak macam abuse of power adalah apabila selepas siasatan dibuat terhadap saya, the next step is DPP, dia nak buat tangkapan lepas siastan dah habis dibuat… so apakah tujuan tangkapan untuk hari ini?

“Polis (dari Dang Wangi) kata you come, i will arrest, i dont want anything to do with this case – seolah-olah mereka cuba untuk fulfill harapan pihak-pihak yang inginkan saya ditangkap dan masuk lokap,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, dalam kenyatannya minggu lalu berkata seorang pegawai polis cedera dalam pergelutan antara polis dan sekumpulan beberapa pekerja estet dalam insiden berkenaan.

ce36568a7bb0f3346391a96f88413af3

Dia juga berkata laporan telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka berhubung insiden itu.

Polis turut menggambarkan insiden itu sebagai “provokasi” daripada kumpulan yang menyerahkan memorandum tersebut, dan anggota kumpulan itu dilihat “melanggar pegawai polis yang bertugas” dalam satu video yang tular.

Menyifatkan kenyataan Fadil sebagai “memutarbelitkan naratif”, Arutchelvan menegaskan dia tidak mencederakan mana-mana pegawai polis, dan tiada sebarang kerosakan selepas insiden itu.

Bagaimanapun, Arutchelvan berkata dia akan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 6 petang ini.

Secara berseloroh Arutchelvan berkata: “Saya juga kesian kepada polis, sebab mereka seolah-olah mendapat arahan yang mereka tak syok untuk laksanakan.

“Saya berterimakasih kepada pegawai penangkap tu sebab bagi peluang untuk kita serah diri, sebab kalau tak, dia akan datang tangkap kat rumah saya,” katanya.

[Baca berita penuh]



Source link