Malaysia Oversight

PSG25 kembali, bakal himpun lebih 5,000 pengunjung

By Utusan in August 13, 2025 – Reading time 2 minute
PSG25 kembali, bakal himpun lebih 5,000 pengunjung


KUALA LUMPUR: Pameran perdagangan emas terbesar di Asia Tenggara, Penang Signature Gold, Gems & Jewellery (PSG) kembali bagi edisi kesembilan dari 15 hingga 17 Ogos ini di Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang.

Acara berprestij anjuran Elite Expo Sdn. Bhd. dengan kerjasama Penang Goldsmith & Jewellers Association (PGJA) itu dijangka menghimpunkan lebih 5,000 pembeli perdagangan dan delegasi antarabangsa termasuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara lain.

Jelas penganjur, lebih 120 gerai pameran dari lapan negara iaitu United Kingdom, Turki, , Thailand, Singapura, India, Jepun dan Malaysia bakal mempamerkan pelbagai koleksi emas, permata, perhiasan halus, logam berharga, teknologi pembuatan, mesin moden serta inovasi pembungkusan terkini.

“Pameran ini adalah eksklusif untuk pemain industri emas, permata dan barang kemas sahaja, dengan lebih 85 peratus penglibatan daripada pengusaha tempatan.

“PSG 2025 diyakini menjadi hab perdagangan utama yang mengukuhkan ekosistem perniagaan serantau sekali gus melonjakkan nama Pulau Pinang dan Malaysia di pentas dunia,” ujarnya.

Tambah penganjur, program sampingan turut diatur sepanjang tiga hari pameran, termasuk seminar Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia mengenai Geran Pembangunan Pasaran (MDG) bagi membantu syarikat tempatan memperluaskan pasaran global mereka melalui pameran perdagangan, pemasaran digital dan misi perniagaan.

“ forum utama yang dinantikan ialah sesi ramalan harga emas dan analisis pasaran global melibatkan tokoh dari Metals Focus dan World Gold Council, membincangkan trend harga, dinamik pasaran serta faktor ekonomi yang mempengaruhi industri emas dunia.

“Selain itu, Platinum Guild International akan mengupas kebangkitan semula permintaan terhadap barang kemas platinum di Asia dan dunia yang didorong inovasi reka bentuk serta perubahan trend pengguna.

“Malah forum serantau bertajuk Navigasi Pasaran Barang Kemas Emas ASEAN: Cabaran, Peluang & Wawasan 2025 pula bakal mempertemukan tokoh industri dari Thailand, Laos dan UAE untuk membincangkan masa depan industri emas di rantau ini, termasuk isu regulatori, tingkah laku pengguna dan peluang perdagangan baharu,” kongsinya.-UTUSAN





Source link