Bekas menteri dan setiausaha agung Umno Annuar Musa yang kini menjadi orang penting PAS meramalkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menjadi medan konsolidasi politik Melayu-Islam melalui permuafakatan nasional yang lebih besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, dia menegaskan Muktamar PAS ke-71 baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa parti itu bersedia memimpin berdasarkan keyakinan pada dasar Islam sebagai jalan penyelesaian.
“Isyarat yang disimpulkan adalah jelas. Keyakinan pada dasar Islam sebagai jalan penyelesaian serta kesediaan PAS memimpin sesuai mandat yang rakyat berikan,” katanya.
Menurutnya, muktamar kali ini turut menunjukkan pengaruh PAS semakin terserlah dalam landskap politik tanah air apabila mendapat perhatian luas daripada pelbagai pihak.
“Fokus PAS adalah menggapai kemenangan dengan mendahulukan penyatuan orang Melayu dan umat Islam, tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.
“Malah PAS tanpa ragu mengistiharkan hak dan kebebasan beragama bagi bukan Islam terus terpelihara, jika berkuasa,” katanya lagi.
Annuar juga menyifatkan PAS memperagakan politik matang apabila terus memberi komitmen kepada muafakat politik melalui taawun dan taayush bersama Perikatan Nasional (PN).
“Pada masa yang sama PAS menegaskan prinsip kesederhanaan dan keterbukaan berkerjasama dengan semua pihak lain yang tidak ‘extreme’. Sekali gus PAS menolak perkauman dan sikap melampau,” katanya.
Sementara itu, dia berkata mesyuarat agung tahunan Bersatu juga menutup tirainya dengan keyakinan parti itu mampu mengukuhkan kedudukan meskipun berdepan sedikit kemelut dalaman.
“Pasca mesyuarat agung tahunan parti-parti utama menunjangi PN, kita menjangkakan akan terjelma satu muafakat politik yang lebih besar dan matang.
“Saya meramalkan PRU16 bakal menyaksikan satu permuafakatan nasional yang besar yang menamatkan keraguan dan ketidakstabilan yang memanjang,” katanya.
Menurut Annuar, formula negara yang berteraskan kebersamaan kelompok teras iaitu orang Melayu dan umat Islam perlu diperkukuh, namun tanpa meminggirkan kelompok lain yang mendokong perlembagaan serta asas pembinaan negara bangsa Malaysia.