Malaysia Oversight

Proton buka tempahan Saga Serba Baharu, harga bermula RM40,000

By Utusan in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Proton buka tempahan Saga Serba Baharu, harga bermula RM40,000


PETALING JAYA: Proton mengumumkan tempahan untuk Saga Serba Baharu kini dibuka secara rasmi, menandakan satu detik penting dalam evolusi sedan ikonik Malaysia dengan harga anggaran bermula daripada RM40,000 hingga RM50,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Saga Serba Baharu menyerlahkan kematangan kejuruteraan Malaysia mengubah PROTON daripada simbol kebanggaan negara kepada pesaing automotif global.

Katanya, Saga Serba Baharu kini membuka lembaran baharu dengan reka bentuk pintar, prestasi dipertingkat dan ketersambungan canggih hasil kejuruteraan oleh bakat tempatan di bawah keupayaan pembangunan dan penyelidikan (R&D) Proton yang semakin berkembang.

“Dibangunkan di atas Platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang baharu, Saga Serba Baharu merupakan model pertama yang direka bentuk, dibangunkan dan disahkan sepenuhnya di Malaysia.

“Ia dengan kerjasama teknikal daripada Geely, selaras dengan perkongsian strategik yang terjalin sejak 2018.

“Pencapaian itu turut menonjolkan keupayaan berdikari Proton dalam pembangunan produk, pemilikan penuh Hak Harta Intelek (IPR), serta kesiapsiagaan untuk teknologi pintar dan autonomi masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Ditawarkan dalam tiga varian Standard, Executive dan Premium serta hadir dengan lima warna menarik iaitu Biru Laut (Marine Blue), Kelabu Angkasa (Space Grey), Merah Delima (Ruby Red), Perak Perisai (Armour Silver) dan Putih Salji (Snow White), mencerminkan gaya moden serta kebanggaan nasional abadi.

Dengan slogan baharu Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu menggabungkan gaya, keyakinan dan inovasi menetapkan penanda aras baharu dalam aspek keselamatan, ketersambungan dan keselesaan dalam segmen sedan A Malaysia.

Tempahan kini dibuka di semua wakil pengedar sah Proton di seluruh negara, dengan ganjaran tempahan eksklusif untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

Pelanggan yang membuat tempahan bagi Saga Serba Baharu dari 10 November 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi dan melengkapkan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Disember 2025 akan menjadi antara 20,000 pembeli terawal.

Pembeli terawal itu akan layak menikmati tawaran eksklusif tempahan awal iaitu Servis Percuma Satu Tahun atau 20,000 kilometer, yang mana terdahulu (termasuk upah dan alat ganti servis) dan Kad Touch ‘n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu, tertakluk kepada terma dan syarat. – UTUSAN





Source link