Protes ini disebabkan, antara lain, ketidakkonsistenan antara kenyataan polis dan rakaman CCTV mengenai seorang pelajar yang ditemui tidak sedarkan diri dengan pelbagai patah tulang pada 18 April.
*Di tengah-tengah isu domestik, Muizzu dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memimpin majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dua hala hari ini.
Lawatan rasmi selama empat hari oleh Presiden Maldives, Mohamed Muizzu ke Malaysia dibayangi oleh protes di republik pulau itu, yang menuntut keadilan untuk siswi berusia 21 tahun, Hawwa Yumnu Rasheed.
Media Maldives, The Edition melaporkan terdapat percanggahan dalam laporan mengenai insiden yang menyebabkan Hawwa cedera parah. Dia ditemui tidak sedarkan diri di atas bumbung sebuah gudang di ibu kota Malé pada 18 April.

Semasa sidang media pada 24 April, Perkhidmatan Polis Maldives mengeluarkan rakaman CCTV dari dalam bangunan tersebut, tempat Hawwa terakhir dilihat bersama seorang lelaki.
Polis Maldives dilaporkan membuat kesimpulan Hawwa jatuh kerana kemalangan meskipun terdapat spekulasi di media sosial yang mendakwa mangsa telah diserang secara seksual dan kemudian dicampak dari atas bangunan tersebut.
Wanita itu dilaporkan terakhir dilihat pada sebuah parti pada 17 April, malam sebelum kejatuhannya, bersama tujuh orang muda yang dipercayai mempunyai kaitan dengan “tokoh berpengaruh” dalam kerajaan.
Portal tersebut kemudiannya mengenal pasti lelaki itu sebagai Raudh Ahmed Zilal, yang telah ditangkap.

The Edition menyoroti kenyataan polis dan rakaman tersebut yang tidak konsisten, mencetuskan tuduhan “menyalahkan mangsa” selepas pihak berkuasa secara terbuka menyebut nama Hawwa sambil menahan maklumat mengenai individu lain yang terlibat.
Hawwa pada mulanya dirawat di Hospital Memorial Indira Gandhi di Maldives sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur pada malam Sabtu (26 April) atas permintaan keluarganya yang tinggal di sini.
Malaysiakini melihat surat dari sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur yang mengesahkan penerimaan Hawwa setelah menilai laporan perubatannya.

Surat yang ditandatangani oleh Ketua Perkhidmatan Perubatan dan Perhubungan hospital tersebut menyatakan diagnosis klinikal Hawwa, termasuk banyak patah tulang dan pendarahan.
Diagnosis ini merujuk pendarahan dalaman di ruang antara otak dan membran yang menyelimutinya; serta patah tulang di leher, rusuk, paha dan kawasan pangkal paha.
Kerajaan Maldives telah berjanji untuk menanggung perbelanjaan perubatan Hawwa, tetapi keluarganya dilaporkan berkata jumlah AS$25,000 (RM109,000) yang diperuntukkan tidak mencukupi, yang mendorong mereka untuk melancarkan kutipan dana segera.
Tuduhan tutup kes
Sementara itu, Transparency Maldives bersama sembilan organisasi lain mengeluarkan kenyataan bersama pada 26 April yang menyuarakan kebimbangan serius mengenai siasatan polis.
“Memandangkan kegagalan berterusan pihak penguatkuasa undang-undang dalam kes-kes serupa, maka tidak dapat dielakkan tuntutan awam yang mempersoalkan penggunaan dana pembayar cukai yang signifikan dan peruntukan sumber kepada institusi-institusi ini telah meningkat,” kata kumpulan itu.
Mereka berkata “protes yang dipimpin oleh golongan muda menimbulkan kebimbangan yang sah mengenai kelewatan dalam siasatan dan tuduhan tutup (kes) untuk melindungi individu atau keluarga yang mempunyai pengaruh, kekayaa, dan kuasa, dengan mengorbankan keadilan, undang-undang negara dan kewajipan antarabangsa Negara.”
Kumpulan-kumpulan ini menekankan kes ini mencerminkan “budaya kebal undang-undang yang meluas, naungan kuasa dan pilih kasih dalam keadilan” yang mempengaruhi kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.

Kontroversi terkini ini susulan kritikan Transparency Maldives terhadap “pindaan yang tidak berperlembagaan” yang dilakukan oleh pentadbiran Muizzu sejak dia menjadi presiden Maldives kelapan pada 17 November 2023.
Di tengah ketegangan di dalam negara, Muizzu dan rombongannya hari ini disambut dengan majlis sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya.
Menurut Bernama, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MOU) dan dua Pertukaran Nota, yang meliputi pelbagai sektor yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dua hala.
Muizzu juga dijadualkan untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) esok. Penganugerahan ijazah tersebut akan diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Namun, satu petisyen yang dilancarkan oleh Alumni UIAM di Maldives yang menentang pemberian ijazah tersebut setakat ini mengumpul 225 tandatangan.
Muizzu dijangka akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation” sempena majlis tersebut.