Tidak seperti mahkamah biasa yang terbuka kepada umum, prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak dijalankan secara tertutup bagi memastikan identiti serta kebajikan remaja bawah umur dilindungi dan mendapat perbicaraan yang adil.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Md Sam berkata Mahkamah Kanak-Kanak ditubuhkan di bawah Seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang mana tafsiran kanak-kanak itu adalah mereka yang berumur bawah 18 tahun.
Dia berkata hanya ahli keluarga terdekat, peguam, timbalan pendakwa raya dan kakitangan mahkamah dibenarkan berada dalam prosiding, manakala orang awam serta media tidak diberi akses, demi menjaga keselamatan dan kerahsiaan kanak-kanak terbabit.
“Semua kanak-kanak yang didakwa melakukan kesalahan jenayah akan dituduh di bawah kesalahan jenayah seperti Kanun Keseksaan, tetapi tuduhan itu akan didaftarkan dan dibicarakan mengikut Akta 611 iaitu Akta Kanak-Kanak 2001.
“Identiti pesalah kanak-kanak tidak boleh didedahkan kepada umum oleh mana-mana pihak termasuk media kerana apabila didedahkan, ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta 611 tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bekas Majistret Mahkamah Sungai Siput Ahmad Shamil Azad pula berkata Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa pihak media tidak boleh melaporkan nama, alamat serta peribadi pesalah kanak-kanak yang dituduh di mahkamah, selain gambar mereka tidak boleh disiarkan kerana dikira kanak-kanak bawah umur 18 tahun.
“Berdasarkan Seksyen 12 Akta Kanak-Kanak 2001, kes melibatkan kanak-kanak yang didengar oleh Mahkamah Kanak-Kanak secara amnya perlu dijalankan secara tertutup, dengan hanya ahli keluarga, kanak-kanak terlibat serta pihak-pihak seperti peguam, mahkamah dan kakitangan mahkamah termasuk polis sahaja yang boleh hadir. Orang awam tidak dibenarkan masuk bagi melihara identiti dan keselamatan kanak-kanak terbabit.
“Oleh itu pihak media tidak boleh membuat sebarang liputan daripada dalam mahkamah. Biasanya dalam kes ini, pihak media akan menunggu sebarang kenyataan yang dibuat oleh pihak keluarga, peguam keluarga atau timbalan pendakwa raya setelah prosiding dijalankan pada hari tersebut,” katanya.
‘Ibu bapa, penjaga perlu teman’
Selain itu dia berkata Seksyen 90 (1) akta itu memperuntukkan sekiranya seorang kanak-kanak itu dituduh di mahkamah, pihak mahkamah akan menjelaskan pertuduhan dan juga sifat pertuduhan tersebut kepada pesalah kanak-kanak terbabit dalam bahasa yang mudah difahami berdasarkan umur dan kematangan mereka.
“Jika kanak-kanak tersebut diwakili peguam, maka tugasan itu boleh diserahkan kepada peguam atau ibu bapa sekiranya perlu, bagi memastikan kanak-kanak itu faham apa yang dipertuduhkan terhadapnya dan apa pilihan yang ada bagi dirinya.
“Kemudian mahkamah akan membantu dengan bertanya sama ada dia nak mengaku salah atau tidak dan untuk prosiding seterusnya jika kanak-kanak itu tidak diwakili peguam, maka mahkamah boleh membantu kanak-kanak tersebut dalam bertanya soalan bagi tujuan perbicaraan,” katanya.
Ahmad Shamil berkata kanak-kanak perlu ditemani ibu atau penjaga sepanjang prosiding berlangsung di mahkamah dan sekiranya gagal hadir, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 88 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, bekas majistret Mahkamah Kuala Lumpur Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor berkata wartawan yang beretika tidak seharusnya merakam gambar pesalah kanak-kanak di kawasan mahkamah kanak-kanak, walaupun ia bukan rakaman dalam persidangan.
“Sekiranya wartawan mendedahkan nama, gambar, video, alamat, nama sekolah atau apa sahaja maklumat yang boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut dikenal pasti, ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau dpenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya yang kini merupakan seorang peguam.
Bekas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri berkata kehadiran kanak-kanak terbabit di mahkamah berkenaan juga ada tatacaranya.
“…mereka tidak digari, dan duduk di kandang tertuduh pun tidak boleh,” katanya yang kini berkhidmat sebagai peguam dan mempunyai firma guaman sendiri.
-Bernama