KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga pasangan selebriti, Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, dan isterinya, aktres Linda Hashim, masih berpanjangan apabila prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan yang berlangsung hari ini gagal mencapai kata sepakat.
Ia berikutan timbul isu baru berkaitan lafaz taklik dan disebabkan itu, hakim telah menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan baru.
Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin memaklumkan, ketidakhadiran Beego selaku defendan telah menyebabkan proses berkenaan tidak dapat diteruskan.
“Hari ini pihak defendan tidak hadir. Proses ini sudah berjalan lebih empat bulan. Kami mohon budi bicara hakim untuk membaca laporan JKP tanpa kehadiran Beego dan Alhamdulillah hakim meneruskannya, namun proses tetap gagal,” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah turut mengarahkan pihak Linda membuka satu fail baharu susulan wujud isu berkaitan lafaz taklik yang didakwa telah dilanggar Beego.
“Dalam laporan JKP pegawai ada menulis bahawa terdapat taklik yang dilanggar.
“Asalnya kita mahu selesaikan secara baik di bawah Seksyen 47, namun apabila hakim mengesan isu baharu ini, beliau minta perkara itu terus dimasukkan,” katanya lagi.
Difahamkan, lafaz taklik berkenaan dibuat pada Disember tahun lalu dan kini perlu melalui proses pengesahan di mahkamah.
Sementara itu, peguam yang mewakili Beego, Muhamad Akmal Amzan, berkata, pihaknya sudah menerima laporan JKP dan mengesahkan terdapat isu yang dibangkitkan dalam JKP berkaitan lafaz taklik.
“Jadi kes ini akan ditangguhkan buat sementara waktu untuk pihak sana memfailkan taklik, pengesahan lafaz cerai taklik.
“Beego tak datang hari ini kerana dia maklumkan tak sihat. Tapi tak ada masalah kerana kita ada wakil peguam (saya).
“Buat masa ini proses hakam tak berjalan dan terpaksa ditangguhkan buat sementara sebab ada pengesahan lafaz taklik terlebih dulu,” katanya.
Muhamad Akmal berkata, pihaknya akan fokus pada isu terbabit sebelum proses seterusnya.
“Mahkamah kena sahkan sama ada lafaz itu sah atau tidak. Jika sah maksudnya kes ini mungkin akan digugurkan. Tapi kalau tak sah, baru kita akan bermula semula. Kes ini akan sambung balik,” katanya.
Terdahulu, Beego dilaporkan tidak hadir ke prosiding mahkamah pada hari ini atas alasan tidak sihat.
Untuk rekod, pada 23 April lalu, pasangan itu telah menjalani proses JKP berhubung kes perceraian mereka. Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan, sebelum ditangguhkan ke semalam.
Linda sebelum ini memfailkan perceraian pada awal Januari lalu atas alasan tiada persefahaman.
Bagaimanapun, kedua-duanya pernah menarik semula tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak pada Mei 2023 selepas mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada April 2023, setelah bercerai kali pertama pada 27 Mac tahun sama.
Linda turut mendedahkan mereka pernah bercerai kali kedua beberapa bulan selepas rujuk, namun tidak mendedahkannya kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.-UTUSAN