Jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu kira-kira 9.30 malam ini setelah proses bedah siasat selesai.
Difahamkan proses bedah siasat selesai pada 7.30 malam dan jenazah akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu, malam ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda ketika ditemui pemberita berkata tiada situasi tidak diingini berlaku ketika orang ramai berkumpul di pekarangan hospital itu sejak pagi tadi.
“Semua dalam keadaan aman, saya ucapkan terima kasih atas kerjasama semua. Saya mohon selepas ini orang ramai beri kerjasama untuk bersurai,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Proses gali semula kubur Allahyarham Zara Qairina selesai pada 7.15 malam semalam sebelum dibawa ke hospital.
Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada empat pagi, 16 Julai.
-Bernama