Kerajaan sedang meneliti kemungkinan melaksanakan projek tenaga nuklear di Semenanjung Malaysia dan Sabah berikutan keperluan tenaga tetap yang tinggi di kedua-dua wilayah itu, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, faktor kesesuaian lokasi berhampiran sumber air seperti sungai, laut atau tasik besar menjadi antara pertimbangan utama dalam kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan bagi sistem penyejukan loji nuklear.
“Semenanjung dan Sabah yang sesuai (dibangunkan projek tenaga nuklear) kerana apa yang diperlukan sekarang ialah tenaga yang sumbernya tetap.
“Kalau di Sarawak, tidak ada masalah sebab hidro sudah menyumbang hampir 70 peratus manakala di Semenanjung dan Sabah, sumber hidro tidak begitu banyak kerana lebih kepada gas dan diesel…jadi ini semua masih berasaskan sumber yang tidak bersih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arena Pickleball MUSCS di Kuching, Sarawak hari ini.
Fadillah berkata setakat ini, belum ada keputusan muktamad mengenai teknologi, lokasi mahupun kapasiti yang akan digunakan kerana kerajaan masih menjalankan kajian menyeluruh yang diselaras oleh MyPower Corporation selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear Negara (NPO).
Fadillah berkata selain keperluan teknikal, kajian berkenaan turut meneliti faktor teknologi paling sesuai, pembangunan kepakaran tempatan, aspek keselamatan, kesan alam sekitar dan kemampuan membiayai keseluruhan pelaksanaan projek tenaga itu.
“Kesemua ini mesti diteliti terlebih dahulu…kalau kita sudah puas hati dan rakyat pun boleh terima, barulah kita boleh muktamadkan…jangkaan kita paling cepat kalau nak dilaksanakan ialah 10 tahun yang akan datang,” katanya.
Dia berkata kerajaan juga meneliti teknologi baru seperti reaktor modular kecil (SMR) serta merancang beberapa lawatan kerja ke luar negara bagi mengenal pasti teknologi terbaik, selamat dan keberkesanan kos di Malaysia.
“Sebab itu saya membuat lawatan kerja ke Rusia dan Perancis…Insya-Allah, saya akan ke Korea Selatan, Jepun, China dan akhirnya ke Amerika Syarikat,” katanya.
Semalam, kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan pelaksanaan tenaga nuklear sedang dikaji sebagai antara sumber tenaga bersih, stabil serta berdaya saing untuk masa depan negara dengan pendekatan bertahap berpandukan garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
-Bernama