Malaysia Oversight

‘Projek ladang hutan di HSK Tersang langgar dasar kerajaan’

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 4 minute
'Projek ladang hutan di HSK Tersang langgar dasar kerajaan'


Kumpulan masyarakat sivil dan pakar bebas memberi amaran keras berhubung cadangan projek ladang hutan seluas 1,289 hektar di Hutan Simpan Tersang, Pahang, yang didakwa melanggar dasar nasional serta mengancam biodiversiti, keselamatan air dan komuniti Orang Asli.

Paling membimbangkan, Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Pahang telah meluluskan rancangan itu pada Mac 2022, hanya empat bulan selepas Majlis Tanah Negara (MTN) meluluskan resolusi pada Disember 2021 yang mengenakan moratorium ke atas kelulusan baru ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata pihaknya terkejut dengan pengabaian jelas terhadap moratorium tersebut dan menggesa persekutuan memberikan penjelasan.

“Kami menuntut penjelasan bagaimana perkara ini boleh berlaku dan apakah tindakan persekutuan berhubung isu ini,” katanya.

78fd4c678e1349e690bd2888dedcf5a1

“Projek yang dicadangkan ini bercanggah secara langsung dengan moratorium MTN,” menurut ulasan SAM terhadap laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek berkenaan.

Semakan awam terhadap EIA ladang hutan monokultur seluas 1,289.63 hektar di HS Tersang berakhir hari ini, dengan sumber Jabatan Alam Sekitar mengesahkan mesyuarat bersama pemaju projek, Summit Rex Sdn Bhd, dijadualkan pada minggu depan.

Semakan Malaysiakini bulan lalu mendapati laporan EIA itu sendiri menyatakan bahawa menghentikan projek Tersang akan membawa manfaat “signifikan” kepada ekosistem, hidupan liar dan komuniti Orang Asli, selain memberi amaran tentang ancaman kepada spesies terancam, sungai tercemar arsenik dan kelangsungan hidup masyarakat Semai.

Namun, walaupun terdapat amaran tersebut, 58 peratus penduduk yang disoal selidik menyokong projek itu atas alasan ekonomi manakala hampir satu perlima menolaknya kerana kebimbangan alam sekitar dan kelemahan pematuhan terhadap peraturan.

Kuota hutan

Selain melanggar dasar persekutuan, projek ini menambah masalah lebih besar: Pahang sudah pun melebihi kuota nasional bagi ladang hutan, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022.

SAM menegaskan masih banyak tanah ladang yang diluluskan tetapi tidak ditanam namun kelulusan baru terus diberikan.

“Hutan Simpan Tersang sahaja sudah mempunyai lebih 7,100 hektar ladang monokultur yang diluluskan,” katanya.

9853a5c2f31d489425026538a5a0b420
Gambar hiasan.

Ahli ekologi Lim Teckwyn berkata kelulusan projek itu bukan sahaja mengabaikan dasar nasional tetapi juga zon perhutanan negeri sendiri.

Merujuk kepada peta Zon Ladang Hutan Pahang, dia menegaskan kawasan itu ditandakan sebagai hutan semulajadi, bukannya kawasan ladang.

Taruhan ekologi juga serius. Kawasan dicadangkan itu menjadi habitat kepada spesies yang dilindungi sepenuhnya dan kekal kaya dengan biodiversiti, berfungsi sebagai habitat penting dan kawasan rayau yang membantu mengurangkan konflik manusia-hidupan liar.

“Tetapi pembersihan kawasan seluas ini akan mengasingkan populasi hidupan liar, kerana Hutan Simpan Tersang dikelilingi penempatan dan terputus daripada kompleks hutan lain,” amaran SAM.

a5a7ca9da4a13cf92a3618d9b6861bd6
Gambar hiasan.

SAM turut menegaskan laporan EIA tidak mengandungi langkah mitigasi yang kukuh terhadap kehilangan kekal habitat dan kawasan rayau.

“Hidupan liar tidak akan mempunyai kawasan perlindungan sebaik sahaja penebangan bermula,” kata SAM lagi, menambah akibat kemusnahan habitat gangguan akan berterusan – resipi untuk konflik manusia-hidupan liar yang semakin meningkat.

Lim turut menolak dapatan EIA yang hanya merekodkan 50 hingga 70 spesies tumbuhan, sambil menegaskan angka itu tidak mengejutkan walaupun di estet kelapa sawit dan ia sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar moratorium ladang hutan.

Kredibiliti EIA dipersoal

Ulasan SAM menyorot kelemahan besar dalam kredibiliti laporan EIA: pasukan kajian tidak melibatkan pakar dalam bidang perhutanan, botani atau zoologi.

“Tanpa kepakaran sewajarnya, laporan itu gagal dari segi kredibiliti dan ketelitian,” katanya.

Sebagai contoh, EIA tidak menyenaraikan nama tempatan spesies flora, menjadikan orang awam sukar memberikan maklum balas dengan bermaklumat.

139655ae4a1848c674b1e4204920ed47
Gambar hiasan.

Ia juga gagal mengenal pasti spesies pokok penting untuk hidupan liar yang menurut resolusi Majlis Perhutanan Negara 2006, tidak boleh ditebang semasa penuaian hutan.

“Kecuaian sebegini menjejaskan penyertaan awam dan pematuhan kepada piawaian perhutanan negara,” menurut ulasan itu.

Impak dahsyat kepada Orang Asli

Selain pelanggaran dasar, SAM turut menegaskan laporan EIA tidak menawarkan mitigasi kukuh terhadap kesan projek itu kepada komuniti setempat, khususnya Orang Asli.

“Bagi ramai yang tinggal berhampiran kawasan dicadangkan, sumber hutan masih menjadi sumber pendapatan utama dan sampingan.

“Menebang hutan asli untuk ladang monokultur akan mengecilkan kawasan rayau mereka termasuk tanah adat, serta secara langsung menjejaskan mata pencarian mereka.

“Kemusnahan hutan akan memutuskan akses kepada sumber yang menjadi kebergantungan Orang Asli, daripada makanan, hasil hutan sehinggalah kepada wilayah tanah adat nenek moyang mereka,” menurut ulasan SAM.

Gangguan loji rawatan air

Projek itu juga mengancam sumber air dan udara kritikal, dengan kesan serius kepada komuniti di hilir sungai.

Pembersihan hutan dan kerja tanah dijangka mencetuskan hakisan, pemendapan dan pencemaran anak sungai yang mengalir ke Sungai Lipis dan Sungai Jelai.

“Tahap kekeruhan, kelodak malah sisa berminyak boleh mengganggu operasi pengambilan air di loji rawatan air Benta dan Sungai Jelai,” amaran SAM.

Risiko itu tidak terhad kepada air semata-mata.

693f825646f4cec1ae4cf90b217dcb0e
Gambar hiasan.

Kualiti udara akan merosot apabila pembersihan hutan melepaskan karbon dioksida, zarah halus dan pencemar lain sambil mengurangkan penghasilan oksigen.

“Projek ini akan meningkatkan suhu setempat, mengurangkan kelembapan dan mengancam kesihatan penduduk, selain merosakkan kesuburan tanah dan pertumbuhan tanaman,” tambah SAM.

Pakar kesihatan kimia, Dr Vivien How bersetuju dengan kebimbangan mengenai loji rawatan air Benta dan Jelai yang terletak di hilir sungai.

Dia memberi amaran bahawa projek Tersang membawa risiko besar terhadap keselamatan air, ekosistem akuatik, daya tahan banjir dan kesihatan masyarakat.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan hutan dan tanah akan mendorong hakisan serta pemendapan, mengurangkan kapasiti aliran sungai dan memburukkan banjir kilat, yang secara langsung mengancam loji rawatan air Benta dan Jelai.

“Hakisan dan pemendapan akan menurunkan kualiti air, merosakkan ikan dan memusnahkan kawasan pembiakan,” katanya, sambil menambah racun perosak dan hidrokarbon akan menggandakan lagi ketoksikan.

“Laporan EIA itu sendiri mengakui bahawa tanpa langkah mitigasi, kesannya akan sangat tinggi.

“Malah dengan kawalan sekalipun, risiko terhadap air, banjir dan kesihatan kekal serius,” katanya kepada Malaysiakini.

Potensi lombong emas

Laporan EIA turut menimbulkan persoalan tentang potensi perlombongan.

“Walaupun dipersembahkan sebagai projek ladang, laporan itu menyatakan terdapat simpanan emas dalam kawasan berkenaan dan mengarahkan perancang supaya mengambil kira ‘nilai masa depan’ di bawah dasar pengurusan sumber negara.

“Ini tidak bermakna perlombongan akan berlaku segera,” kata How, “tetapi ia meletakkan prospek perlombongan emas kekal terbuka.”

[Baca berita asal]



Source link