Malaysia Oversight

Program pembiayaan mikro Zakat Alliance Islamic Bank ubah nasib asnaf

By Utusan in February 11, 2026 – Reading time 3 minute
Program pembiayaan mikro Zakat Alliance Islamic Bank ubah nasib asnaf


KUALA : Bermula dengan rasa rendah diri, ketakutan untuk berdepan orang ramai dan tekanan hidup yang tidak berpenghujung, siapa sangka dapur kecil di hadapan rumah mampu menjadi titik mula sebuah kebangkitan.

Itulah perjalanan hidup Siti Rozana Abdullah, 52, peserta Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM), yang membuktikan kesusahan boleh menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih bermaruah.

Akuinya, langkah pertamanya dalam dunia perniagaan bukanlah kerana yakin, tetapi kerana terpaksa.

“Saya mulakan dengan nasi lemak, dua bekas sahaja. Masak di depan rumah. Dalam hati penuh takut orang tak suka, takut tidak laku dan takut gagal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika itu, suaminya menghidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan berterusan, manakala beliau perlu menyara empat orang anak.

Katanya, tekanan hidup membuatkan pilihan semakin terhad, namun sokongan anak-anak menjadi cahaya di hujung lorong gelap.

“Anak-anak yang beri saya keberanian. Mereka kata, ‘boleh ibu, kita cuba’. Kata-kata itu yang buat saya teruskan,” ujarnya sebak.

Namun, pandemik Covid-19 hampir memadamkan segala usaha yang dibina apabila perniagaan terpaksa dihentikan.

“Saya hampir hilang harapan. Tapi saya tidak mahu mengalah. Saya bangkit semula, membuat tempahan kecil-kecilan dari rumah,” katanya.

Kebangkitan sebenar berlaku selepas pandemik, apabila beliau berjaya memperoleh tender membekalkan makanan di sebuah sekolah agama namun, kekangan modal hampir menggagalkan peluang itu sehinggalah Program AZAM hadir, bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi keyakinan.

“AZAM memberi saya peluang untuk berdiri atas kaki sendiri. Pinjaman RM5,000 tanpa faedah itu saya gunakan sepenuhnya sebagai modal,” katanya.

Hasil disiplin dan usaha berterusan, kini, beliau berjaya melangsaikan pinjaman dalam tempoh 35 minggu dan lebih bermakna, Siti Rozana kini bukan lagi penerima zakat.

“Alhamdulillah, saya telah keluar daripada golongan asnaf. Hampir setahun saya tidak menerima bantuan zakat dan hari ini, saya pula menjadi pembayar zakat,” katanya.

Kisah kebangkitan itu turut dikongsi seorang lagi peserta AZAM, Norassyikin Abdul Majid, 39, yang suatu ketika dahulu bergelut tanpa pendapatan tetap dan hampir berputus asa.

“Saya nak berniaga, tapi tidak tahu macam mana. Tidak tahu kira kos, tidak tahu berniaga. Pada masa itu, saya rasa kosong dan hilang arah,” katanya.

Melalui AZAM, Norassyikin bukan sahaja menerima pembiayaan RM5,000, malah dibekalkan ilmu keusahawanan yang membina keyakinan diri.

“Program ini ajar saya berfikir sebagai peniaga, bukan penerima bantuan. Dari situ, saya belajar mengurus wang, mengira untung rugi dan percaya pada diri sendiri,” kata peniaga ayam, sosej dan produk tofu di sekitar Bestari Jaya.

Hari ini katanya, dia boleh menyimpan, bayar balik pinjaman tanpa tekanan dan yang paling penting, beliau rasa bermaruah kerana berdikari.

Kini, beliau menyimpan impian untuk memiliki sebuah van bagi kembangkan perniagaan dan membuka lebih banyak peluang rezeki.

Kisah Siti Rozana dan Norassyikin membuktikan zakat bukan sekadar bantuan untuk bertahan hidup, tetapi boleh menjadi jambatan menuju kebangkitan.

Program AZAM tampil sebagai platform yang memulihkan keyakinan, memupuk maruah dan mengubah penerima bantuan menjadi penyumbang kepada masyarakat.

Daripada tangan yang pernah menerima, kini mereka menghulur semula. Dan di situlah makna sebenar zakat, membina manusia, bukan sekadar meringankan beban.

Bagi golongan asnaf yang ingin membina kehidupan yang lebih baik melalui keusahawanan, program AZAM dapat membantu dengan menyediakan pembiayaan mikro berasaskan konsep Qard, menggunakan dana zakat wakalah bank tanpa sebarang caj atau kos tambahan.

Usahawan mikro asnaf dapat memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka, selain menerima latihan kemahiran perniagaan, kewangan dan pemasaran. Maklumat lanjut mengenai Program AZAM boleh didapati di https://www.alliancebank.com.my/Islamic/Business/Financing/zakat-microfinancing UTUSAN





Source link