Malaysia Oversight

Produk IKS Pahang berpotensi tembusi Aeon, sasar pasaran Jepun

By Utusan in January 17, 2026 – Reading time 2 minute
Produk IKS Pahang berpotensi tembusi Aeon, sasar pasaran Jepun


KUANTAN: Produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari Pahang dijangka menembusi lebih banyak rangkaian pasar raya Aeon di seluruh negara, sekali gus membuka laluan baharu ke pasaran antarabangsa termasuk Jepun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, peluang itu bakal dimuktamadkan selepas pertemuan lanjut antara negeri dan pihak pengurusan Aeon dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, ketika ini sebahagian produk IKS Pahang sudah pun dipasarkan di 27 cawangan Aeon seluruh negara, namun potensi untuk diperluaskan begitu besar.

“Usahawan IKS perlu bersedia daripada segi kualiti, pembungkusan dan kapasiti pengeluaran. Kita mahu produk Pahang bukan sekadar berada di pasaran tempatan, tetapi menembusi pasaran luar negara, termasuk Jepun,” katanya selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, merasmikan pembukaan pasar raya Aeon Kuantan, cawangan kedua Aeon di Pantai Timur selepas Kota Bharu, di sini.

Dalam perkembangan lain, Amizar menegaskan negeri sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelabur dengan menyediakan kemudahan dan insentif kondusif.

Katanya, setakat tahun lalu, Pahang merekodkan pelaburan komited berjumlah RM18.04 bilion, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap dasar negeri.

“Jumlah pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang. Sebahagian besar pekerja di pasar raya ini sendiri terdiri daripada warga tempatan,” ujarnya. – UTUSAN





Source link