Umno dan BN Sabah memutuskan tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno berkata Umno dan BN Sabah bagaimanapun kekal menjalin kerjasama dengan PH pada pilihan raya berkenaan.
“Kami mengekalkan kerjasama BN-PH. Namun, BN Sabah dan Umno Sabah memutuskan secara muktamad tidak akan ada kerjasama dengan GRS. Sekian terima kasih,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu tengah malam tadi.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan mesyuarat tertutup dengan barisan pemimpin Umno Sabah di sana yang turut dihadiri Pengerusi Umno Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin.
Mengikut peruntukan, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
-Bernama