WAWANCARA | Tekanan semakin memuncak untuk lebih banyak pendakwaan dibuat dalam skandal rasuah lesen perlombongan di Sabah mendorong seorang pemimpin kanan Umno negeri menyifatkan gabungan GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor sebagai “liabiliti” dalam hubungan tiga segi dengan PH.
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir mengekalkan pendirian BN untuk berhati-hati daripada bekerjasama secara rasmi dengan GRS manakala PH mengambil peranan ‘orang tengah’ dalam rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Kita bukan tak mahu bergabung, mahu juga untuk perpaduan.
“Tapi kalau bergabung akan terpalit juga isu rasuah, isu pentadbiran. Belum lagi pembohongan macam-macam.

“Singkatkan, kalau kita gabung, mereka akan jadi kita punya liabiliti,” kata ahli parlimen Libaran itu pada satu wawancara di Parlimen.
Dia berkata demikian ketika diminta menjelaskan faktor yang mendorong penolakan Umno Sabah untuk bekerjasama dengan GRS.
November lalu, Malaysiakini melaporkan skandal rasuah berasaskan beberapa siri video bocor yang setakat ini menyaksikan hanya dua Adun Sabah didakwa, bersama seorang ahli perniagaan yang menjadi pendedah maklumat, Albert Tei (gambar bawah).
Selain Hajiji, rakaman video itu turut memaparkan dakwaan urusan melibatkan pelbagai menteri dan Adun Sabah. Semua pemimpin GRS yang dituduh oleh Tei menerima rasuah daripada ahli perniagaan itu menafikan dakwaan tersebut.

Hubungan BN dan GRS mula tegang sejak 2023 apabila BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Hajiji.
Ketika itu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin menuduh Hajiji melanggar persefahaman bahawa gabungan itu akan menyokong kepimpinannya sebagai pertukaran jawatan dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, semasa lawatan ke Sabah awal bulan ini menyentuh tentang “cinta tiga segi” tersebut dan berharap supaya dielakkan pertembungan pilihan raya antara BN dan GRS.
Bagaimanapun, Suhaimi membangkitkan persoalan menghadapi kempen pilihan raya dengan serangan politik terhadap GRS.

“Kita waktu kempen nak cover dia orang punya masalah?
“Rakyat sekarang marah masalah air, eletrik, jalan, nak jawab macam mana,” soal Suhaimi.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal berikrar jika Warisan membentuk kerajaan negeri selepas PRN, pihaknya akan mendakwa lebih ramai Adun GRS yang terlibat dalam skandal itu.
Hampir enam bulan selepas skandal rasuah penerokaan mineral Sabah terbongkar, pada 30 Jun, Tei dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, serta Adun Sindumin Yusof Yacob untuk membantu mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Tei mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 itu.
Andi dan Yusof turut didakwa mengikut Akta SPRM namun ramai pemimpin Sabah menyoal mengapa tiada lagi wakil rakyat lain yang didakwa.
“(Itulah sebab) kita berkeras tak mahu bergabung dengan GRS? Isu ini. Kegagalan ini,” kata Suhaimi.
Menjelang pembubaran DUN Sabah bulan depan, BN dan GRS secara berasingan telah berikrar untuk bersekutu dengan PH.

Namun, Umno Sabah memberi isyarat calonnya dijangka berdepan GRS dan pembangkang negeri Warisan dalam pertembungan tiga penjuru atau lebih.
“Pertembungan ini seperti apa berlaku pada PRN-15, 16 dan sekarang menuju ke—17, situasi sama pertembungan dengan Warisan.
“Tapi dalam masa yang sama, kita melihat bahawa gabungan-gabungan ini bukan tidak baik tetapi ada pelanggaran dari segi kerusi.
“Jadi mungkin akan timbul perkara tidak baik apabila pertembungan berlaku antara semua parti. Sebab gabungan-gabungan ini semua parti besar di dalam,” katanya.

Menurut Suhaimi, pertembungan sedemikian boleh menimbulkan persoalan arah tuju Sabah.
Semalam, Bung Moktar (gambar atas) dilaporkan berkata BN terbuka untuk berunding kerjasama selepas pilihan raya dengan mana-mana gabungan termasuk GRS, tetapi Umno akan terlebih dahulu bertarung dalam pertembungan kerusi yang dijangka berlaku.
Ditanya sama ada keputusan PRN akan mencerminkan sentimen pengundi untuk PRU akan datang, Suhaimi menjawab:
“Betul. Saya lihat itu yang akan berlaku.
“Sekarang BN ada 7 kerusi parlimen…Kalau kita menang PRN, InsyaAllah BN akan menang 12 kerusi parlimen di Pantai Timur Sabah, kecuali Semporna.
“Kerusi tradisi Umno termasuk Batu Sapi, Beluran, Kota Belud…”
Terdahulu dilaporkan sebanyak 23 parti politik berdaftar dijangka bertanding pada PRN Sabah ke-17, dengan pembubaran automatik DUN 73 kerusi itu pada 11 November.
[Baca berita asal]