Malaysia Oversight

Presiden Maldives diasak soalan dari warganya di KL

By MkiniBM in April 29, 2025 – Reading time 4 minute
Presiden Maldives diasak soalan dari warganya di KL


Pertemuan antara Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, dan warga republik itu di Malaysia bertukar tegang malam tadi apabila dia disoal berkaitan dakwaan yang mencetuskan protes yang diketuai golongan belia di negara itu.

Antara yang hadir ialah kakak kepada Hawwa Yumnu Rashed, seorang pelajar Maldives berusia 21 tahun yang kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur akibat kecederaan serius yang didakwa berpunca daripada terjatuh dari tingkap sebuah pangsapuri.

Menurut abang iparnya, Mohamed Muimin, wanita tersebut — yang enggan dinamakan atas faktor keselamatan — telah “menyoal” Muizzu berhubung dakwaan usaha “menutup” kejadian tersebut.

Muimin berkata, kakak Hawwa turut mengemukakan soalan kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Teknologi Maldives, Ali Ihusaan, yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis negara itu.

“Mereka berkelakuan sangat buruk. Terutamanya menteri dalam negeri.

fdcbaf8b47052859c0e6a431a4826774

“Dengan senyuman sinis dia (Ali) berkata ‘sayalah yang mengeluarkan video itu’,” dakwa Muimin, merujuk kepada rakaman CCTV dari sebuah bangunan pangsapuri di ibu kota Maldives, Male, tempat Hawwa dilihat kali terakhir pada 18 April.

Dalam kejadian sebelum subuh itu, Hawwa ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di atas bumbung sebuah gudang bersebelahan bangunan pangsapuri tersebut. Pihak berkuasa mendakwa dia “terjatuh” dari tingkat sembilan melalui tingkap yang terbuka.

Ketika ditemui di hospital tempat Hawwa menerima rawatan, sepupunya Ageela Naeem menunjukkan kepada Malaysiakini gambar dari tempat kejadian serta rakaman CCTV.

Berlainan dengan versi pihak berkuasa, Ageela menunjukkan gambar tingkap — yang berengsel di bahagian atas dan terbuka ke atas, manakala bahagian bawahnya berkaca.

2cb150c64dde39882e25753deb1abc53

“Mustahil Hawwa boleh terjatuh secara tidak sengaja melalui tingkap itu dan jatuh ke atas bumbung.

“Tingkap itu juga menghadap arah bertentangan dari bumbung, dan jika dia jatuh dari situ, dia sepatutnya menghempap tanah di lorong sempit,” katanya.

Percanggahan laporan mengenai kejadian itu mencetuskan protes diketuai golongan belia, selepas laporan pada 24 April menyatakan polis menyimpulkan insiden itu sebagai kemalangan, meskipun tersebar spekulasi di media sosial yang menyebut kemungkinan berlaku serangan seksual dan perbuatan khianat.

Sebaik sahaja Hawwa dimasukkan ke Hospital Memorial Indira Gandhi di Maldives, Ageela berkata, pihak keluarga telah meminta penilaian perubatan bagi menentukan sama ada dia telah diserang secara seksual.

“Tetapi tiada sebarang prosedur dijalankan, jadi dakwaan itu tidak dapat dibuktikan,” kata Ageela, sementara Muimin pula mendakwa berlaku cubaan menutup lebih banyak perkara oleh pihak berkuasa.

Muimin, yang menetap di Malaysia lebih sedekad bersama isterinya — seorang lagi kakak Hawwa — berkata keluarga kemudiannya mengatur pemindahan Hawwa ke hospital di Kuala Lumpur.

Dia enggan mendedahkan keadaan terkini Hawwa atas faktor privasi dan keselamatan, tetapi memaklumkan bahawa beberapa pembedahan dijadualkan akan dilakukan — yang tidak tersedia di Maldives.

“Kebiasaannya, pesakit yang memerlukan prosedur seperti ini akan dirujuk ke hospital di India, tetapi kerana kami berada di sini (Kuala Lumpur), kami pilih untuk membawanya ke sini,” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melihat sepucuk surat yang ditandatangani oleh ketua perkhidmatan dan perhubungan perubatan hospital berkenaan, yang menyatakan laporan perubatan Hawwa menunjukkan dia mengalami patah di beberapa tulang dan pendarahan dalaman.

Difahamkan diagnosis itu merujuk kepada pendarahan dalaman antara otak dan membran, serta patah tulang di bahagian leher, rusuk, paha dan pangkal paha.

Beberapa jam sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada 26 April, Ageela berkata keluarganya menggunakan media sosial untuk mengumpul dana segera selain sumbangan sebanyak AS$25,000.

“Semua wang itu berjaya dikumpul orang awam dalam masa 90 minit. Ia sangat mendesak kerana kami perlu menyediakan semuanya.

“Saya tempah tiket pada 5.45 petang, penerbangan sekitar jam 9 malam dan saya hanya ada sejam untuk tiba di lapangan terbang,” kata Ageela.

“Tapi bila kami tiba di sini, ia sungguh menakjubkan. Kami tahu betapa rakyat benci kerana apa yang mereka lakukan kepada kami.

“Kali ini rakyat Maldives benar-benar bantu kami, membantu kami menjaga adik kami,” tambah Muimin.

Ekoran tekanan yang semakin memuncak, pada 27 April, Muizzu mengeluarkan dekri presiden bagi menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas dianggotai tiga anggota untuk menyiasat kes tersebut.

Susulan protes terhadap komposisi suruhanjaya itu, dua lagi ahli ditambah termasuk seorang wanita.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Muizzu hari ini telah dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan dan Pembangunan Madani oleh Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam kepimpinan dan pembinaan negara.

Ijazah kehormat tersebut disampaikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM, dalam satu majlis di kampus Gombak.

Dalam ucapannya, Muizzu merakamkan penghargaan atas penghormatan tersebut dan menekankan kepentingan kepimpinan yang berteraskan keadilan, inovasi dan pembangunan modal insan dalam mengangkat martabat negara-negara di peringkat global.



Source link