Malaysia Oversight

Presiden Colombia arah usir diplomat Israel

By MkiniBM in October 2, 2025 – Reading time 2 minute
Presiden Colombia arah usir diplomat Israel


Presiden Gustavo Petro pada Rabu mengarahkan pengusiran seluruh delegasi diplomatik Israel dari Colombia, susulan penahanan dua rakyat Colombia yang berada di atas sebuah flotila yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Manuela Bedoya dan Luna Barreto merupakan sebahagian daripada kru Global Sumud Flotilla (GSF) – satu usaha antarabangsa untuk memecahkan sekatan dan menghantar bantuan ke Gaza.

Menurut kenyataan daripada Global Movement to Gaza, tentera Israel menahan kedua-dua wanita itu selepas flotila berkenaan sampai ke kawasan berisiko tinggi sejauh 150 batu nautika (277.8 kilometer) dari pesisir Gaza.

42842e1326cd613da46c6ebc5145f2d6

“Selepas mencapai 150 batu nautika … kedudukan maritim kapal Israel bermula pada 23:59 UTC (6.59 petang waktu Colombia),” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa flotila lain sebelum ini pernah “diserang atau dipintas.” Ia menyifatkan tindakan itu sebagai “satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva.”

Petro memberi amaran di platform media sosial X bahawa jika laporan itu benar, ia akan menjadi “jenayah antarabangsa baharu oleh Benjamin Netanyahu.”

Beliau berkata “Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Israel dibatalkan serta-merta.” Awal minggu ini, Petro telah menyatakan hasratnya untuk menggantung perjanjian dengan Israel.

Walaupun Petro telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada Mei 2024, kenyataan terbaharunya lebih tegas apabila beliau mengarahkan mana-mana wakil diplomatik yang masih ada supaya meninggalkan wilayah Colombia dengan segera.

Beliau turut menyatakan Kementerian Luar akan memfailkan saman, termasuk di mahkamah Israel, dan menggesa peguam antarabangsa menyokong pasukan perundangan Colombia.

Tentera laut Israel pula berkata flotila berkenaan sedang menghampiri zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan tentera laut yang sah.

Tentera itu berkata ia telah meminta kapal berkenaan mengubah haluan ke pelabuhan Ashdod dan sekali lagi menawarkan untuk menyalurkan sebarang bantuan melalui saluran yang telah ditetapkan dan boleh disahkan ke Gaza.

– Bernama



Source link