Malaysia Oversight

Premis jual vape haram di Kangar diserbu

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
angola


PETALING JAYA: Pasukan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) menyerbu dua premis menjual rokok elektronik atau secara haram di Kangar, Perlis dengan rampasan RM315,900, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, Operasi Bersepadu Op Taring Alpha 3 itu dijalankan bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di sekitar Kangar.

Menurutnya, tindakan ini dibuat berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam berkaitan penjualan rokok elektronik secara haram di negeri terbabit.

“Serbuan pertama di jalankan di kawasan Kampung Baru, Kangar dan merampas 2,083 unit peranti serta cecair rokok elektronik pelbagai jenama bernilai RM104,150.

“Manakala serbuan kedua di kawasan Kampung Padang Behor, Kangar merampas 4,235 unit peranti dan cecair rokok elektronik pelbagai jenama bernilai  RM211,750,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dirampas adalah 6,318 unit bernilai RM315,900.

“MPK telah mengeluarkan notis kesalahan serta tawaran kompaun kepada penjaga premis atas pelanggaran Akta Tempatan 1976. 

“Semua rampasan dipercayai untuk tujuan jualan walaupun Negeri Perlis sudah menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan cecair mulai 1 Ogos lalu,” katanya.

Katanya,  operasi ini dilaksanakan di bawah pendekatan REFORM, iaitu gabungan kepakaran pelbagai agensi untuk memaksimumkan keberkesanan penguatkuasaan. 

“PDRM bersama agensi berkaitan akan terus melaksanakan operasi secara berkala bagi membanteras penjualan haram dan menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya.- UTUSAN





Source link