Apabila memilih paparan skrin, secara lazimnya orang ramai akan memilih untuk mendapatkan model dengan saiz paparan dan juga resolusi dan kadar segar semula setinggi yang mungkin. Untuk pemain e-sukan pula, mereka akan memilih untuk mendapatkan kadar segar semula setinggi yang mungkin untuk mendapatkan nilai bingkai yang tertinggi untuk kelancaran permainan yang terbaik.

Untuk golongan ini, Acer baru sahaja memperkenalkan paparan skrin Predator X27U F8, iaitu paparan skrin OLED bersaiz 26.5 inci yang hadir dengan resolusi WQHD (2560×1440) bersama-sama sokongan untuk kadar segar semula 720Hz pada resolusi 720p untuk kadar segar semula yang terpantas di pasaran sekarang.

Pada resolusi WQHD, paparan skrin ini hadir dengan kadar bingkai setinggi 540Hz, yang masih lagi sangat pantas jika anda mahukan kadar bingkai pantas bersama-sama pada resolusi yang lebih tinggi. Paparan Predator X27U F8 juga hadir dengan sokongan untuk teknologi DisplayHDR 500 True Black yang dan boleh mengolah 99 peratus daripada gamut warna DCI-P3 yang memberikan olahan warna lebih riang dan jitu untuk sesi-sesi gaming ataupun menonton filem.

Dalam pada itu, paparan ini juga dilihat hadir dengan sokongan AMD FreeSync Premium Pro yang menjanjikan pertukaran bingkai yang lancar tanpa carikan skrin.
Acer mengatakan bahawa paparan Predator X27U F8 ini akan diperkenalkan pada pasaran global tidak lama lagi.