Predator Helios 18P AI Diperkenalkan – Komputer Riba Berspesifikasi Gaming Premium Untuk Tugasan Profesional
Nazrin
Komputer riba Predator Helios 18 AI dilancarkan pada pertengahan tahun ini dengan spesifikasi gaming yang sangat berkuasa, malah boleh dikatakan menandingi banyak penawaran komputer gaming desktop di pasaran sekarang.

Terkini, sewaktu acara Acer GPC 2025 yang berlangsung di Berlin, Jerman, Acer telah memperlihatkan model baru komputer riba ini yang dinamakan Predator Helios 18P AI, iaitu komputer riba yang sama, tetapi dengan beberapa penawaran spesifikasi dalaman yang berbeza.

Dari segi paparan, Predator Helios 18P memperlihatkan paparan Mini LED 18 inci dengan resolusi 4K WQUXGA (3840 x 2400) dengan nilai kecerahan 1000 nit dan boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 untuk suntingan dan olahan video dengan warna yang paling jitu.

Ia masih dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 285HX, tetapi kali ini hadir dengan ciri vPro yang membolehkan pihak IT syarikat untuk menyulitkan mesin-mesin kerja dengan lebih mudah. Cip pemprosesan ini juga digandingkan dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 5090 untuk mereka yang bekerja dalam sektor kreatif profesional.

Dua komponen tersebut juga dipadankan dengan memori DDR5 ECC (Error Correcting Code) yang mengurangkan masalah memori apabila melakukan tugasan komputer intensif seperti suntingan video ataupun olahan objek 3D beresolusi tinggi.


Predator Helios 18P juga tampil dengan pilihan storan PCIe 5.0 dengan kapasiti setinggi 6TB jika diingini, sesuai untuk komputer yang perlu bekerja dengan fail-fail video ataupun objek yang memerlukan jumlah storan yang banyak juga.
Dari segi penyejukan, komputer riba ini juga tampil dengan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi keenam yang menjanjikan komponen-komponen CPU dan GPU yang sentiasa beroperasi pada tahap optimum.

Satu gimik menarik yang diperlihatkan ialah panel di bahagian belakang engsel komputer riba ini yang memperlihatkan nama model Helios apabila ia menyala. Bahagian ini juga merumahkan palam Thunderbolt 5 dan palam kuasa yang diperlukan untuk menguasakan komponen komputer riba ini. Selain daripada itu, ia juga hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 7 terbaru untuk sokongan aksesori storan dan juga sambungan internet yang terpantas sekarang.
Acer mengatakan bahawa Predator Helios 18P AI ini akan diperkenalkan di pasaran antarabangsa tidak lama lagi.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.