PETALING JAYA: Pos Fulfill, unit bisnes di bawah Pos Malaysia kini muncul sebagai pemacu baharu dalam industri logistik tempatan dengan menawarkan servis penyelesaian lengkap yang merangkumi segmen penghantaran pertengahan atau lebih dikenali sebagai ‘mid-mile’.
Ketua Pos Fulfill, Rohit Gunavanthe berkata, inisiatif ini melengkapkan ekosistem perkhidmatan Pos Malaysia yang sebelum ini terkenal dengan sokongan awal menerusi perkhidmatan Pos Logistic dan juga penghantaran akhir melalui Pos Laju.
Katanya, Pos Fulfill dilihat mampu mengubah ekosistem e-dagang tempatan dengan menyediakan penyelesaian menyeluruh yang meliputi simpanan, pemprosesan dan
penghantaran barangan ke seluruh negara.
“Sebelum ini, pemain industri hanya mengenali Pos Malaysia menerusi perkhidmatan penghantaran akhir melalui Pos Laju, manakala segmen pertengahan atau mid-mile tidak wujud dalam portfolio syarikat.
“Kini dengan Pos Fulfill, kami mengisi jurang tersebut. Produk pelanggan bukan sahaja dihantar, malah disimpan, diproses, dibungkus dan diagihkan semula.
“Ia membentuk ekosistem penuh yang bukan sahaja memudahkan jenama tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), malahan membolehkan jenama antarabangsa berkembang dalam pasaran digital,” katanya dalam temubual bersama media baru-baru ini.
Beliau berkata, berbanding kebanyakan syarikat logistik lain yang hanya menumpukan operasi di Semenanjung Malaysia, Pos Fulfill memanfaatkan kedudukan Pos Malaysia sebagai syarikat pos nasional dengan rangkaian menyeluruh yang meliputi Sabah dan Sarawak.
“Kos penghantaran order-by-order ke Sabah atau Sarawak sangat tinggi. Dengan adanya gudang di sana, stok boleh disimpan dan diproses secara tempatan; membolehan penjual menjimatkan sehingga 20 peratus kos penghantaran.
“PKS merupakan segmen penting dalam strategi pertumbuhan syarikat. Pos Fulfill bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pemenuhan, malah membantu PKS menembusi pasaran serantau termasuk Indonesia dan Asia Tenggara melalui kerjasama dengan Redly Express, sayap kurier antarabangsa Pos Malaysia.
“Bagi PKS, kelebihan terbesar adalah kesinambungan rangkaian kami di seluruh negara serta sokongan ke pasaran luar. Sama ada mereka ada 25 pesanan sehari atau 250, kami tetap melayan dengan prosedur operasi standard yang sama,” ujarnya.
Tambahnya, dalam tempoh hampir tiga tahun operasi, Pos Fulfill telah menambah kapasiti gudang kepada 170,000 kaki persegi dengan 29 pelanggan aktif, termasuk jenama utama dalam barangan pengguna cepat laris (FMCG), penjagaan diri dan kesihatan.
Rohit berkata Pos Fulfill kini beroperasi di enam tapak, dengan tiga kemudahan gudang berada di Lembah Klang, satu di Pulau Pinang, manakala masing-masing satu di Sabah dan Sarawak serta menyasarkan untuk meningkatkan jumlah ruangnya kepada 500,000 kaki persegi dalam masa dua tahun akan datang.
Melangkah ke hadapan, Rohit berkata, Pos Fulfill menyasarkan untuk memperkukuh kedudukan di Sabah dan Sarawak memandangkan permintaan tinggi daripada usahawan tempatan.
Selain itu, syarikat turut merancang untuk mengembangkan operasi pemenuhan ke pasaran luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand dengan memanfaatkan rangkaian pos serantau.
“Pos Malaysia sudah bertapak selama 225 tahun dan kami akan terus berada di sini untuk 225 tahun lagi. Dengan pertumbuhan pesat yang dicapai dalam tiga tahun ini, kami yakin Pos Fulfill mampu menjadi pemacu utama logistik pemenuhan di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN