Portugal terus giat memadam beberapa kebakaran hutan di bawah keadaan berjaga-jaga ketika bahagian selatan dan utara Eropah bergelut dengan cuaca ekstrem, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Selasa.
Di Portugal, empat kebakaran besar masih aktif, khususnya di wilayah utara Vila Real dan Mondim de Basto, dengan lebih 800 anggota bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran dengan sokongan 282 kenderaan dan sembilan pesawat, lapor agensi berita Portugis, Lusa.
Seramai 522 anggota bomba dikerah untuk memadam kebakaran besar di Vila Real.
Satu pasukan khas terdiri daripada 16 anggota dari Latvia turut membantu usaha di lapangan.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan ramai petugas kecemasan keletihan selepas bekerja selama beberapa hari dan telah meminta kerajaan menghantar bantuan tambahan.
Portugal mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga sehingga 7 Ogos susulan gelombang haba baharu yang bertambah buruk hujung minggu lalu.
Sementara itu, di Sepanyol yang berjiran, suhu telah mencecah 42 darjah Celsius di sembilan wilayah autonomi, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan “amaran jingga.”
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memberi amaran bahawa “risiko kebakaran hutan baharu kekal sangat tinggi” meskipun beberapa kebakaran sebelum ini telah berjaya dikawal.

Seorang lelaki berusia 85 tahun di bandar selatan Badajoz dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Semenanjung Iberia kini mengalami gelombang haba kedua pada musim panas ini dengan ahli kaji cuaca memberi amaran bahawa suhu ekstrem dijangka berterusan sehingga hujung minggu.
Di tenggara Eropah, Bulgaria turut berdepan kebakaran hutan.
Satu kebakaran hutan berlaku di wilayah Harmanli, memusnahkan kira-kira 2,023 hektar antara kampung Dositeevo dan Kolarovo, menurut Ketua Jabatan Keselamatan Kebakaran dan Perlindungan Penduduk Wilayah Haskovo, Mitko Chakalov.

Di utara Eropah, Institut Meteorologi Finland telah mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa wilayah, menurut agensi berita Finland YLE.
“Jika ribut petir membentuk kawasan yang besar dan padat, tiupan angin kencang boleh menyebabkan kerosakan besar.
“Selain itu, ribut petir boleh mencetuskan hujan batu serta banjir di kawasan bandar,” kata ahli meteorologi Ari-Juhani Punkka.
Suhu di Finland dijangka turun kepada sekitar 20 darjah Celsius berikutan gelombang haba yang menyaksikan suhu melebihi 30 darjah Celsius direkodkan selama 22 hari berturut-turut – satu rekod baharu negara itu.
– Bernama-Anadolu